8,000 penjawat awam di Pahang terima RM500

Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN 13 Mei – Seramai 8,000 penjawat awam di negeri ini menerima Bantuan Khas RM500 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bayaran tersebut akan dibuat pada Selasa depan.

“Kita akan buat bayaran khas ini kepada penjawat awam dari gred JUSA ke bawah melibatkan peruntukkan RM4 juta.

“Bantuan ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan kesetiaan penjawat awam kepada Kerajaan Negeri selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau turut menyeru agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan-badan Berkanun Negeri supaya turut melaksanakan pembayaran yang sama.

“Kita ada kira-kira 3,500 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PBT serta Badan-badan Berkanun di negeri ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bantuan tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi meraikan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *