Perketatkan penjarakan sosial di pasaraya

Nazri Ngah (kanan) mengadakan Tinjauan di Pasaraya Econsave Jerantut semalam

JERANTUT 5 Mei – Semua pemilik pasaraya di negeri ini perlu perketatkan penjarakan sosial bagi mengelak kesesakan pelanggan di dalam premis perniagaan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, hanya 80 orang pelanggan sahaja dibenarkan berada dalam pasaraya pada satu masa.

“Saya lihat ada sesetengah pasaraya yang tidak mengawal kehadiran pelanggannya sehingga ada pelanggan yang mengabaikan penjarakkan sosial terutama di bahagian barang basah.

“Pemilik premis juga perlu arahkan petugas untuk memantau penjarakan sosial di dalam premis memandangkan pasaraya kini menjadi tumpuan umum di bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan bersama pegawai dari Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Daerah Jerantut di tiga pasaraya di daerah ini semalam.

Nazri Ngah (kanan) melakukan pemantauan di sebuah pasaraya di Jerantut semalam

Menurutnya, semua pasaraya juga perlu menyediakan buku rekod kehadiran pelanggan bagi memudahkan agensi yang terlibat untuk mengesan orang ramai yang hadir sekiranya terdapat individu positif Covid-19.

“Mereka perlu rekodkan nama pelanggan, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan masa tiba di premis masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, pegawai dan anggota KPDNKK akan membuat pemantauan berterusan dan pemilik premis boleh dikenakan tidakan jika gagal berbuat demikian.

“Saya juga sarankan orang ramai agar membuat senarai barangan yang hendak dibeli bagi mengelak mereka berada lama dalam pasaraya,” jelasnya.

Katanya, seluruh masyarakat di negeri ini perlu memberi kerjasama agar tidak wujud lagi kluster baharu dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad memberitahu, daerah ini masih bebas dari sebarang salah laku sejak pelaksanaan PKP. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *