
KUANTAN 3 Mei – Kerajaan Negeri Pahang menangguhkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok ekoran kemunculan kluster baharu penularan wabak Covid-19 di Lanchang.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya perlu mengkaji dan memperhalusi situasi semasa di negeri ini terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad dilakukan.
“Kita akan bincang perkara ini dengan lebih lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri pada Jumaat ini dan barulah kita umumkan tindakan selanjutnya.
“Sehubungan dengan itu, rakyat negeri ini perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan sekarang,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri menghormati keputusan Perdana Menteri yang membenarkan PKPB bermula esok namun pihaknya tidak mahu terburu-buru melaksanakannya kerana bimbang kemunculan kluster baharu.
Semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan penemuan kluster baharu di Pahang melibatkan sebuah pusat Tahfiz di Lanchang setelah enam orang dijangkiti virus Covid-19. – Utusan Timur