Zaiton mohon maaf murtabak masin

Zaiton Ismail memasak murtabak di Jengka 24, Maran.

JERANTUT 2 Mei – Seorang peniaga tampil memohon maaf kepada pelanggannya apabila menyedari murtabak yang dijualnya masin berbanding sebelum ini.

Zaiton Ismail, 54, dari Felda Jengka 24, di sini tampil membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebook miliknya.

Katanya, dia menyedari murtabak yang dijualnya agak masin berbanding biasa ketika makan untuk berbuka puasa petang semalam.

“Saya rasa tak sedap hati dan saya membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebook kerana saya tidak kenal semua pelanggan.

“Saya sedia gantikan murtabak lain pada hari ini sekiranya ada pelanggan yang tidak berpuas hati kerana mereka beli untuk berbuka puasa,” katanya hari ini.

Menurutnya, dia menjual murtabak daging dan ayam RM6 sekeping dengan jualan antara 30-50 keping sehari.

“Anak saya, Afdlin Md Nasir, 20, akan menghantar murtabak yang ditempah oleh pelanggan bermula pukul 4 petang,” ujarnya.

Tambahnya, dia berharap kejadian berkenaan tidak berulang dan akan lebih berhati-hati ketika mengadu bahan untuk menjaga keenakan murtabaknya.

Tinjauan Utusan Timur menerusi ciapan Facebooknya mendapati warganet memuji kejujuran Zaiton dalam perniagaan malah ada pelanggan yang tidak kisah dengan murtabak masin. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *