UMNO Jerantut kesal individu fitnah bantuan kerajaan negeri

Nazri Ngah (kanan) menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri kepada seorang penerima di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, Jerantut hari ini

JERANTUT 23 Apr. – UMNO Bahagian Jerantut kesal dengan tindakan segelintir individu yang menabur fitnah terhadap kerajaan negeri mengenai bantuan Prihatin Covid19 kepada keluarga yang terjejas sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Terbaru, seorang wanita dari Kampung Bukit Rang, di sini telah menghantar mesej melalui Facebook kendalian kerajaan negeri kononnya tidak pernah menerima sebarang bantuan biarpun ayahnya seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, pihaknya telah melakukan siasatan mengenai dakwaan wanita terbabit dan memanggilnya untuk memberi penjelasan lanjut.

“Hari ini kita panggil wanita berkenaan dan kita beritahu bahawa bantuan yang diterima oleh keluarganya sebelum ini adalah daripada kerajaan negeri.

“Sebenarnya kami sudah menyalurkan bantuan kepada keluarga itu dan hari ini kami bagi sekali lagi berserta pelekat tertera gambar Menteri Besar Pahang pada bungkusan beras malah kita minta dia memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan daripada kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, di sini hari ini.

Wanita yang mendakwa belum terima bantuan kerajaan negeri hadir memohon maaf kepada pihak terlibat di Galeri Mat Kilau, Pulau Tawar, Jerantut hari ini

Menurutnya, hampir 6,700 keluarga di daerah ini telah menerima bantuan daripada beberapa agensi termasuk kerajaan negeri, UMNO Bahagian dan MUIP.

“Unit Task Force telah bergerak di semua kawasan Parlimen Jerantut termasuk kawasan pedalaman Ulu Tembeling untuk mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya berharap tidak ada lagi fitnah yang ditaburkan melalui media massa dan pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya masih berlaku selepas ini. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *