COVID-19: Tangguh dulu pembukaan beberapa sektor ekonomi

 

Noor Hisham ketika ditemu bual wartawan pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pembukaan beberapa sektor ekonomi terpilih perlu ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya dua minggu lagi bagi membolehkan penilaian dilakukan sama ada negara berjaya mengawal penularan COVID-19 dalam komuniti, atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan ketika ini adalah masa kritikal dalam usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, semua kementerian juga perlu membuat perancangan untuk membuka sektor ekonomi tertentu itu kerana tidak mahu keadaan kembali seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Orang kata kalau kita berlari 100 meter, 10 meter terakhir yang paling penting sekali. Kalau kita lari maraton 10 meter terakhir inilah (yang menentukan) kejayaan atau tidak. Jadi kita kena bersabar dalam perjuangan kita.

“Kita nasihatkan semua (sektor ekonomi terpilih). Kalau yang terpaksa, contoh senarai keperluan asas, dari hari pertama kita dah benarkan, contoh makanan. Kita tidak ada masalah dari segi senarai keperluan asas.

“Tapi kalau lebih ramai orang tak duduk rumah dan keluar jadi kebarangakalian atau kebolehjangkitan itu meningkat. Konsep dia mudah saja, duduk di rumah, kurangkan jangkitan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya sama ada negara sudah bersedia untuk membuka beberapa sektor ekonomi bermula minggu depan.

Hari ini, banyak pihak membantah pembukaan sektor gunting rambut kerana menganggap ia tidak penting dan boleh mencetuskan kluster baharu.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya sudah membincangkan isu pelaksanaan keputusan itu dengan kerajaan dan menggalakkan kementerian membuat perancangan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan keputusan itu boleh dilakukan seminggu, dua minggu atau mungkin selepas PKP tamat.

“Saya fikir, semua kementerian sepatutnya merancang sekarang bagaimana untuk pelaksanaan secara berperingkat-peringkat.

“Ini bukan seperti hari raya, hari ini sedang bercuti esok bekerja, bukan seperti itu. Kita kena lihat untuk kita bermula dengan cara berperingkat-peringkat, kita tidak boleh kembali terus. Contohnya, habis saja fasa tiga kita terus seperti cara biasa,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memberi contoh berkemungkinan sesi persekolahan juga boleh dibuat secara berperingkat-peringkat dengan Tingkatan Lima dan Enam Atas saja yang dibenarkan berjalan semula berikutan pelajar perlu menduduki peperiksaan manakala kelas lain boleh mulakan secara berperingkat-peringkat selepas itu.

Beliau berkata, perancangan boleh dibuat dengan teliti untuk mengelakkan berlaku perhimpunan di tempat awam seperti stesen bas atau stadium.

“Kita kena rancang dengan betul. Apa yang penting, penjarakan (sosial), tiada perhimpunan, itulah konsep kita, sentiasa cuci tangan yang paling penting kejayaan kita adalah duduk di rumah,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, beliau pasti ramai yang terkesan dengan pelaksanaan PKP fasa satu dan dua namun apa yang penting semua pihak kini sedang berjuang memerangi COVID-19 dan masih belum menang.

Katanya, KKM mendapati ada tanda-tanda kejayaan pelaksanaan PKP selama ini dalam menurunkan bilangan kes dan ia disumbangkan oleh kawalan sempadan, kawalan pergerakan, larangan terhadap perhimpunan serta amalan penjarakan sosial.

“Kalau kita lihat semula, semua tindakan kita seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga dan dari segi perancangan untuk membuka atau mengehadkan pergerakan, KKM mengesyorkan kita kekalkan tindakan yang kita telah laksanakan pada fasa satu dan dua.

Kredit : Berita Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *