Daftar tahfiz dan madrasah persendirian dengan kerajaan

Nazri Ngah (kiri) bergambar bersama Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri di Pejabat Pas Jerantut hari ini

JERANTUT 10 Apr. – Pusat tahfiz atau madrasah milik persendirian disarankan mendaftar pusat pengajian masing-masing dengan kerajaan bagi memudahkan agihan bantuan.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, pendaftaran itu penting bagi memudahkan kerajaan untuk merangka jenis bantuan yang diperlukan oleh institusi terbabit.

“Kita harap pemilik tahfiz dan madrasah di negeri ini terutamanya dapat mendaftarkan pusat pengajian mereka dengan kerajaan bagi memudahkan agihan bantuan.

“Kita percaya pusat pengajian persendirian ini memerlukan bantuan dari pihak luar terutama kerajaan untuk memudahkan urusan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Pejabat Pas Daerah, di sini hari ini

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud.

Dalam perkembangan lain, Nazri turut menyeru agar seluruh masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga bermula 15 April ini sehingga 28 April depan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

“Seluruh masyarakat tanpa mengira pangkat, usia, bangsa dan agama perlu mematuhi arahan PKP ini untuk kita menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat,” jelasnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *