Tiada bazar Ramadan di Pahang tahun ini

Tiada bazar Ramadan di Pahang tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19. – Gambar Hiasan

KUANTAN 8 Apr. – ‘Tiada Bazar Ramadan di Pahang tahun ini’.

Pahang turut mengikut jejak langkah negeri lain agar tiada aktiviti Bazar Ramadan di 11 kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selari dengan masalah yang melanda negara hari ini berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat.

“Tindakan ini juga selari dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan melibatkan orang ramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan atau tidak.

“Semua penduduk di negeri ini harus faham situasi sekarang kerana kita perlu menangani penularan wabak ini dan para peniaga perlu akur dengan arahan kerajaan negeri,” katanya hari ini.

Menurutnya, semua 94 lokasi penganjuran Bazar Ramadan di seluruh negeri melibatkan 4,639 peniaga berdasarkan statistik yang direkodkan pada tahun lepas tidak akan beroperasi pada bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

Kerajaan telah melaksanakan PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac sebelum dilanjutkan kepada Fasa 2 sehingga 14 April ini. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *