#dudukrumah, ‘wake up call’ untuk rakyat!

 

Oleh AHMAD TARMIZI ABDUL RAHIM

*Penulis ialah bekas Pengarang Agama Utusan Malaysia

SEBELUM ini pelbagai ‘vocabulary’ tidak molek dihamburkan segelintir rakyat dan netizen terhadap kerajaan ‘sebulan jagung’ itu. Bukannya tiada langsung yang elok tapi ia terlindung dek kerana komen, reaksi semberono.

Bagaimanapun trend itu semakin kendur, mungkin kerana menyedari keprihatinan kerajaan terhadap rakyat. Boleh dikatakan jalan ceritanya mula berubah apabila Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion dibentangkan. Ia bukan bertujuan menguntungkan sesetengah pihak tetapi sebaliknya memanfaatkan semua .

“…tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” memetik kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membentangkannya pada 27 Mac lalu.

Banyak sebenarnya wang dibelanjakan untuk membantu rakyat itu. Sekadar menyebut sebahagian daripadanya, hampir RM128 bilion untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Sebelum itu, sebanyak RM20 bilion diumumkan dalam pakej rangsangan terdahulu.

Segala angka-angka itu bukannya sekadar janji-janji manis bertujuan menggembirakan sekejap penonton semasa lakonan tetapi ia adalah nyata, bukannya cubaan tapi betul-betul.

Buktinya bermula hari ini (6 April 2020), pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM5.63 bilion bermula. Jumlah keseluruhannya sebanyak RM9.24 bilion yang bakal dilunaskan dalam dua fasa.

Fasa pertama itu bukannya untuk satu kampung atau daerah tetapi melibatkan 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang. Penerimanya tidak perlu bersusah payah ke hulu-hilir, hanya duduk rumah dan duit masuk ke dalam akaun. Dalam keadaan negara-negara jiran yang terjejas masih lagi berkira-kira untuk buat mesyuarat ‘bagai’ tapi sebahagian rakyat negara ini sudah mampu menarik nafas lega.

Dalam pada itu, apa yang kita nampak bagus dan cekap itu adalah perkara zahir. Belakang tabirnya bagaimana? Macam sebahagian anak-anak kecil, apa yang mereka tahu adalah hidangan lazat mesti terhidang dalam pinggan atas meja siap dengan pelbagai lauk. Setakat itu sahaja. Pernahkah mereka selidik bagaimana susah payahnya ibu bapa bekerja mencari wang untuk mewujudkan semua itu?

Alhamdulillah, terima kasih kepada agensi kerajaan berkaitan, khususnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menjadi wira tidak didendang melancarkan segala urusan berkaitan termasuk kesesakan trafik alam maya. Sepanjang tempoh ini, laman web mereka yang bermain di jari-jemari rakyat negara ini. Semakan status, rayuan, page Facebook semuanya dilayari. Maki hamun usaha cakaplah, biasalah apabila sesuatu berkaitan dengan wang semua pihak tidak berputus asa untuk mencuba dan terus mencuba memasuki talian.

Nampaknya semua sudah berjalan lancar, kesesakan trafik semakin tenang, masalah dapat dikenal pasti sekali gus tindakan selanjutnya dilaksanakan.

Kenapa kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya bersusah-payah? Jawapannya adalah kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat tapi perlu diingatkan bahawa cakna dan prihatin sahaja tidak mencukupi jika tiada dana mencukupi.

Dana ini datangnya dari mana? Adakah keluar dari beg ajaib atau celah-celah karpet. Semestinya daripada hasil negara yang dikutip, dikumpul dan diuruskan dengan baik oleh agensi kerajaan khususnya LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pejam mata, tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Fikirkan tentang perlunya cukai pendapatan dibayar dengan penuh kejujuran. Bayangkan jika semuanya culas, wujudkah nanti dana kecemasan untuk negara menghadapi situasi darurat yang tidak terjangka dan terjangkau ini.

Jika tiada dana melalui sistem pengurusan cukai yang cekap dan efektif, mana mungkin kerajaan mampu bertindak pantas menyenangkan rakyat yang terjejas dengan Covid-19. Cepatnya kerajaan bertindak bukan sekadar cekap mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja, tetapi langkah-langkah pencegahan juga dilaksanakan bagi menangani kes-kes simptom ringan dan kuarantin virus itu.

Cuba taip Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dalam enjin carian google, pasti dipaparkan gambar-gambar dua dewan besarnya yang diubah menjadi pusat rawatan serba lengkap Covid-19. Ia yang masing-masing berukuran 9,600 meter persegi dan 3,600 meter persegi itu mampu memuatkan 604 pesakit pada satu-satu masa.

Kemudahannya bukanlah seperti hotel bertaraf lima bintang tetapi cukup selesa jika dibandingkan dengan pusat kuarantin negara-negara lain yang ditularkan videonya, keadaannya daif dan berdebu. Silap-silap selepas dikuarantinkan, penyakit lain pula boleh datang menyinggah.

Sehingga kini terdapat sebanyak 551 pusat kuarantin berkaitan Covid-19 diwartakan kerajaan yang mampu menempatkan lebih 40,000 individu dalam satu-satu masa dengan 107 stesen beroperasi sepenuhnya.

Tidak cukup dengan itu, turut dilaksanakan operasi sanitasi awam, iaitu sehingga kini 83 kawasan di 11 negeri termasuk 41 di Johor dan 14 di Kuala Lumpur telah melalui proses itu dalam membendung penyebaran wabak Covid-19 di kawasan zon merah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.

Sekali lagi ingin ditanya, segala sumber kos dan pembiayaannya datang dari mana? Jika tidak daripada kutipan pengurusan cukai yang cekap dan efektif, dapatkah semuanya itu disediakan?

Ikhlas cakap, meskipun pandemik Covid-19 pertama kali berlaku dalam sejarah negara, sekali gus menyebabkan tiadanya benchmark atau garis panduan khusus untuk menanganinya namun setakat ini kerajaan mampu mengendalikannya. Kita kena jujur dan ikhlas, jika baik kenalah puji dan jika salah, perlu ditegur.

Kerajaan langsung tidak nampak kekok! Setiap tindakan disusuli dengan pelan kontigensi bersistematik. Bukannya seperti guna pelan A, bila ia hampir musnah kerana tidak berjaya baru nak fikir pelan lain. Tapi kali ini amat luar biasa, umum pelan A tapi pada masa sama pelan B, C, D, E, F dan seterusnya telah siap sedia menanti. Tahniah sekali lagi.

Menguruskan satu pandemik yang merosakkan ekosistem sosial dan ekonomi seluruh dunia bukannya satu perkara mudah seperti aksi membalikkan tapak tangan tapi hingga kini segala penat lelah kerajaan nampaknya hampir berjaya.

Terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang diterajui Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain. Anda memang hebat, harapnya selepas ini berkekalanlah elaun kecemasan yang diberikan secara interim itu setelah ditarik beberapa ketika dahulu.

Dalam pada itu, kecekapan KKM menangani pandemik ini bukannya bersifat syok sendiri atau lebih kepada jaguh kampung tapi sebaliknya diiktiraf di peringkat dunia. Buktinya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipilih menyertai sekumpulan saintis dunia untuk membuat kajian memerangi pandemik COVID-19.

Selain para saintis, gabungan itu turut dianggotai pakar perubatan, penderma dan pembuat dasar dari lebih 30 buah negara. Antaranya, Profesor Universiti Kesihatan dan Sosial Kolokotrones di Sekolah Perubatan Harvard, Paul Farmer; Ketua Pengarah Institut Pasteur di Perancis, Stewart Cole; dan saintis kanan di University of Oxford, Philippe J Guerin.

Pandemik ini secara hakikatnya seperti musibah tetapi sebenarnya ia turut terkandung hikmah yang patut diinsafi oleh semua pihak. Jom mantapkan solidariti untuk memutuskan rantaiannya dengan mematuhi PKP setaat mungkin.

Ingatan kepada rakyat, masih belum terlewat atau masih berkesempatan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara dengan melaporkan pendapatan yang betul dan penuh kejujuran. Bantulah kerajaan untuk membolehkan mereka kembali membantu kita. Jangan persoalkan sumbangan negara kepada kita tetapi apakah sumbangan kita kepada negara. Situasi semasa ini adalah ‘wake up call’ kepada rakyat, jadi sila duduk rumah, duduk diam-diam!. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *