Agihan bantuan perlu telus dan adil

Haslihelmy DM Zulhasli (kanan) bersama Wan Rosdy Wan Ismail

SEMUA orang pada ketika ini khususnya golongan kurang berkemampuan pastinya resah kerana penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan bukan sahaja negara malah kehidupan rakyat.

Rata-rata rakyat ketika ini dihimpit kesusahan kerana tidak dapat bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Di sebalik kesusahan yang dialami oleh rakyat, kerajaan Pusat pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran pandemik itu.

Selain disampaikan oleh wakil-wakil rakyat, penyaluran bantuan itu turut melibatkan Ketua Kampung dan Penyelaras Skuad Bencana yang dilantik bagi menyalurkan bantuan daripada kerajaan Pusat dan Negeri Pahang.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berharap ketua kampung, Penyelaras Skuad Bencana atau sesiapa sahaja yang diarahkan mengedarkan bantuan ekoran penularan Covid-19 kepada rakyat supaya bersikap telus dan adil.

Sebagai ketua kampung, mereka perlu melaksanakan tugas mereka dengan penuh adil terhadap semua masyarakat.

Ketua kampung yang dilantik itu adalah mewakili kerajaan negeri melaksanakan tugas di peringkat kampung, oleh itu mereka perlu bersikap adil dan amanah dan jangan ada sikap pilih kasih.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

Secara ringkas, berdasarkan ayat ini memberi pengajaran bahawa Islam tidak membataskan umatnya untuk berbuat baik sesama mereka saja, bahkan menaungi semuanya tanpa mengira kaum, budaya dan agama termasuk makhluk seisi alam.

Orang yang berbuat baik disukai dan dikasihi Allah, malah diberikan ganjaran pahala sebagaimana diterangkan melalui beberapa nas berikut:

Firman-Nya dalam surah Hud, ayat 115 bermaksud: “Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu dalam mengerjakan suruhan Allah) kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Jadi, laksanakan tugas dan amanah itu dengan adil dan jangan ada sikap memilih bulu.

Dalam keadaan negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 ini, ramai rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan yang terjejas dan mereka sangat memerlukan bantuan.

Agihkanlah bantuan itu kepada rakyat yang benar-benar layak menerimanya, jangan pula bantuan telah sampai kepada pengedarnya tetapi ia tidak sampai kepada penerimanya.

Janganlah bantuan hanya diberikan kepada orang sama sahaja, biarlah adil dan semua rakyat yang memerlukan dapat merasainya.

Pamerkan sikap dan keperibadian yang baik ketika menyampaikan sumbangan itu kerana anda merupakan cerminan kepada kerajaan negeri.

PSAP meminta mana-mana rakyat di negeri Pahang yang merasakan diri mereka terjejas dan memerlukan bantuan, bolehlah berjumpa wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Jika benar-benar memerlukan bantuan, mohonla mengikut saluran disediakan. Anda pasti menerimanya jika benar-benar layak.

Saya tahu keikhlasan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang saya kenali lebih 10 tahun dalam membantu rakyat memerlukan.

Saya berharap rakyat di negeri Pahang bersabar menghadapi penularan pandemik ini dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi kita memutuskan rantaian pandemik ini. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *