Covid-19 : PGA Batalion 7 kawal ‘laluan tikus’ di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan Superintanden Azhari Nusi (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada anggotanya yang bertugas menjaga perbatasan negara menerusi Op Wawasan Kelantan

RANTAU PANJANG 23 Mac – Sebanyak 88 buah pangkalan haram yang sering dijadikan ‘laluan tikus’ penduduk di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Tumpat untuk menyebarang masuk ke negara jiran secara haram dikawal rapi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Pegawai Pemerintahnya, Superintanden Azhari Nusi berkata, selain itu kekuatan anggota turut ditambah bagi memastikan perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sempadan negara berjalan lancar.

Menurutnya, PGA Batalion 7 juga turut melakukan pemeriksaan rapi ke atas
setiap pergerakan yang berlaku di tiga buah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) seperti Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli).

“Kita juga mahu, sempadan Malaysia-Thailand disepanjang sungai Golok bebas daripada ancaman Covid-19 dan juga sebarang ancaman yang boleh mengugat keselamatan negara,” katanya.

Azhari memberitahu, PGA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar PKP dan peraturan sedia ada.

Katanya, Rondaan Jalan Kaki (RJK) menjadi alternatif baharu pasukan berkenaan dalam memperkasakan lagi kawalan disempadan Malaysia-Thailand di sepanjang sungai Golok.-UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *