Premis perniagaan lima daerah di Pahang diarah tutup awal

Sebuah kedai serbaneka 7 Eleven menutup operasi bermula pukul 7 petang tadi di Taman Wawasan, Jerantut

JERANTUT 20 Mac – Pemilik premis perniagaan di lima daerah perlu mematuhi arahan terbaru kerajaan negeri agar beroperasi mengikut masa yang telah ditetapkan bermula esok.

Daerah yang terlibat ialah Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh dan Bentong setelah dikenalpasti sebagai kawasan ‘hotspot’ positif koronavirus baharu (Covid-19).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, premis tersebut ialah kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan stesen minyak.

“Mereka perlu menutup premis masing-masing bermula pukul 7 petang hingga 7 pagi dan saya harap semua pihak memberi kerjasama dengan baik.

“Saya difahamkan banyak premis perniagaan telah bertindak awal sejak semalam selepas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membuat kenyataan media,” katanya kepada Utusan Timur.

Menurutnya, semua pihak perlu akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula kelmarin dalam usaha menangani wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

“Orang ramai juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya masih ada premis yang masih berdegil untuk kita ambil tindakan,” jelasnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *