Umat Islam bantah ‘funfair’ di Jengka

Ahmad Zaharudin (dua dari kiri) menerima memo bantahan ‘funfair’ di Jengka hari ini.
Saharudin (dua dari kiri) meninjau aktiviti di tapak ‘funfair’ Bandar Tun Abdul Razak, Jengka hari ini

KUALA KRAU 21 Feb. – Kontroversi ‘funfair’ di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka masuk fasa baharu apabila pengurusan 37 masjid Wilayah Jengka turut membantah operasinya yang bermula beberapa hari lalu.

Penduduk di kawasan berkenaan yang terdiri daripada 99 peratus beragama Islam sebelum ini membantah ‘funfair’ tersebut ekoran terdapat permainan berunsur judi.

Timbalan Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Ustaz Yunan Abdul Samad berkata, operasi ‘funfair’ berkenaan tidak patut wujud memandangkan umat Islam akan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Kami kecewa dan mendesak Majlis Daerah Maran menarik balik permit kebenaran yang telah dikeluarkan sebelum ini demi menghormati bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan,” katanya selepas menyerahkan memo bantahan kepada Kadi Jengka, Ustaz Ahmad Zaharudin Mohd Alias di sini hari ini.

Menurutnya, Wilayah Jengka dihuni oleh penduduk Islam dan tidak perlu aktiviti yang melalaikan diadakan di sini.

“Sudah lama tidak ada ‘funfair’ di sini namun ia cuba dihidupkan kembali dan kami berharap bantahan penduduk didengar oleh pihak berwajib,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Maran, Saharudin Jali hari ini turun padang bagi memastikan tiada elemen judi dalam permainanan yang ditawarkan di ‘funfair’ berkenaan.

“Aktiviti seperti ini dapat membantu peniaga di gerai-gerai berhampiran dengan kehadiran pengunjung yang ramai”.

“Kami harap penganjur tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan terutama unsur-unsur perjudian dan mereka perlu peka dengan masyarakat Islam di sini,” ujarnya. – UT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *