
PASIR PUTEH, 19 Februari – Seorang pesakit strok dan seorang pesakit yang mengalami patah tulang telah diberi bantuan pelayaran ihsan oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan bagi mendapatkan rawatan segera di Hospital Besut semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie bin Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Klinik Kesihatan Pulau Perhentian pada jam 10.50 pagi dan meminta bantuan untuk memindahkan dua orang pesakit.
Beliau menjelaskan, bot Maritim Penyelamat 7 tiba di Pulau Perhentian pada jam 12.05 tengah hari. Namun kedua pesakit perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan. Difahamkan, salah seorang pesakit, Muhammad Aiman bin Alias (22 tahun) mengalami patah tulang di beberapa tempat akibat dihempap pokok kelapa semasa kerja-kerja menumbangkan pokok kelapa dilakukan oleh beliau. Manakala seorang lagi pesakit, Chaan Chee Keong (45 tahun) disyaki mengalami strok.
”Memandangkan pesakit perlu menerima rawatan segera dan teksi air agak sukar untuk beroperasi kerana keadaan angin kencang dan laut yang bergelora mencecah 3.5 meter, kami segera menggerakkan Bot Maritim Penyelamat 7 yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Faris bin Mohd Sidek bersama tujuh anggota bagi memastikan kedua pesakit tersebut boleh mendapatkan rawatan segera serta menerima rawatan yang lebih baik. Angin kencang dan laut yang bergelora bukan masalah bagi Bot Maritim Penyelamat 7 kerana bot tersebut sememangnya direka khas untuk beroperasi dalam apa juga keadaan.
”Bot Maritim Penyelamat 7 bertolak daripada Pulau Perhentian pada jam 12.30 tengah hari dan tiba di Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan pada jam 1.40 petang. Kedua pesakit seterusnya dikejarkan ke Hospital Besut menaiki ambulans.
Tambahnya, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca sebelum melaksanakan sebarang aktiviti. Orang ramai juga perlu segera melaporakan sebarang kejadian kecemasan di laut bagi negeri Kelantan khususnya di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070.
