Membudayakan Tulisan Jawi Di Negeri Pahang – MB Pahang

Membudayakan Tulisan Jawi Di Negeri Pahang – MB Pahang

Membudayakan Tulisan Jawi Di Negeri Pahang – MB Pahang

Bermula pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda bertulisan Jawi di kesemua premis-premis perniagaan negeri ini. Peraturan yang berdasarkan peruntukkan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini adalah untuk memastikan tulisan Jawi yang merupakan tulisan warisan terus terpelihara dan dapat mendidik generasi masa hadapan, untuk mencintai adat dan budaya yang semakin lama terhakis dek kerana globalisasi dan arus permodenan.

Langkah pemeliharaan warisan ini bukanlah sesuatu yang asing di dunia, kerana jika kita lihat di negara-negara lain, penggunaan bahasa dan tulisan warisan telah dikuatkuasakan oleh pentadbir negeri dan negara tersebut, atas usaha untuk tidak membiarkan budaya sesuatu bangsa itu pupus ditelan zaman.

Di United Kingdom sebagai contoh, terdapat usaha yang berterusan oleh rakyat dari Ireland Utara untuk memperkasakan Bahasa Ireland dengan pelaksanaan undang-undang yang memelihara budaya dan adat resam bangsa tersebut. Perkara yang sama juga sedang giat diperjuangkan oleh golongan berbangsa Scot (Scotland), yang menggunakan bahasa dan tulisan Gaelic sebagai bahasa asal mereka.

Bagi pemeliharaan bahasa Wales di United Kingdom pula, gabungan negeri-negeri bersekutu di United Kingdom juga telah membentuk undang-undang khas iaitu The Welsh Language Act 1993 (Akta Bahasa Welsh 1993) dan Government of Wales Act 1998 (Akta Kerajaan Wales 1998) yang memelihara bahasa, tulisan dan kaedah komunikasi bangsa Wales, yang mana negeri mereka kini turut menjadi sebahagian daripada United Kingdom.

Bahasa Gaelic Scotland, Bahasa Wales dan Bahasa Ireland juga mempunyai abjad yang lebih kurang sama sifatnya dengan tulisan rumi yang digunakan oleh Bahasa Inggeris. Namun begitu, sepertimana penggunaan tulisan Jawi di Malaysia, walaupuan tulisan yang digunakan itu asasnya dari tulisan Arab, bahasa yang digunakan adalah berbeza, yang mana ini termasuk maksud ayat-ayat dan cara sebutan abjad-abjad yang ditulis.

Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), telah dijangkakan pada penghujung abad ini terdapat lebih 6,000 bahasa dan tulisan dari seluruh pelusuk dunia akan pupus sekiranya tiada tindakan yang bersepadu dilaksanakan untuk memelihara khazanah budaya tersebut.

Kita tidak mahu perkara ini terjadi dengan tulisan Jawi yang telah menjadi identiti bukan sahaja kepada bangsa Melayu dan agama Islam di nusantara, tetapi juga adalah budaya sejagat yang pada suatu masa dahulu pernah dikongsi oleh semua kaum di Malaysia.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur telah terpanggil untuk melaksanakan peraturan ini bagi memastikan tulisan Jawi terus mekar dalam ingatan anak-anak Pahang tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Kita perlu melihat impak positif, yang mana dengan adanya peraturan ini, ia akan dapat membuka ruang bagi seluruh warga Pahang untuk mengenal (atau mengenal semula) tulisan yang merupakan khazanah berharga ini.

Penghayatan terhadap tulisan Jawi bukannya hanya tertakluk kepada huruf dan abjad semata-mata, tetapi setiap yang memandangnya juga boleh menghayati nilai estetika dan seni yang terhasil daripada tulisan tersebut.

Pembudayaan tulisan Jawi turut harus dilihat sebagai wadah penyatuan antara semua rakyat Pahang, yang mana ia boleh menerbitkan rasa cinta dan sayang kepada adat dan budaya negeri yang telah diamalkan buat sekian lamanya.

Sebagai sebuah negeri yang mahsyur dengan budaya dan adat resam, tidak salah kiranya kita berusaha untuk memperkasakan warisan bersama, agar anak-anak Pahang di masa hadapan, dapat melihat dan merasai betapa bernilainya khazanah negeri yang telah kita pelihara.

Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail

YAB Menteri Besar Pahang

Kredit : wanrosdy.com

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *