Pahang bina takungan air bernilai RM12 juta di Lipis

 

MARAN 9 Feb. – Kerajaan BN Pahang  mengambil langkah inovatif melaksananakan projek menakung 80 peratus air mentah di negeri ini daripada mengalir ke Laut China Selatan tanpa dimanfaatkan oleh rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berikutan dengan itu projek takungan air di luar sungai (ORS) bernilai RM12 juta akan di mulakan di daerah Lipis .

Menurutnya, projek ini adalah sebagai langkah proaktif bagi mengatasi masalah bekalan air terawat di daerah berkenaan.

Beliau berkata, projek perintis itu adalah model untuk dilaksanakan di daerah lain.

“Projek yang bertujuan memanfaatkan air sungai semaksimum daripada mengalir ke laut tanpa diproses, akan dimulakan pada tahun ini. Keberkesanan projek ini akan dinilai sama ada memberi manfaat besar kepada rakyat dan diperluaskan ke kawasan lain apabila siap nanti.

“Projek di Lipis ini akan memberi manfaat kepada enam kawasan seperti di Jelai, Kuala Medang, Projek Agropolitan Tanjung Gahai, Kuala Koyan, Kampung Bertam, dan projek Rumah Makmur yang akan dibangunkan di daerah itu.

“Ini ialah projek perintis yang akan dimulakan dalam masa terdekat kerana peruntukan telah ada. Ia kini dalam peringkat rekaan bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). Kita akan lihat keberkesanannya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan dan menyerahkan surat tawaran Rumah Makmur dan Rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Pahang Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang Abd Rahim Muda dan Pengerusi Eksekutif Angsanapuri Development Sdn Bhd Datuk Indera Norzan Ahmad.

Beliau juga sebelum ini dilaporkan berkata kajian mendapati air mentah dari lembangan sungai negeri ini khususnya Sungai Pahang, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari yang berkesudahan dengan aliran keluar ke laut.

Dalam majlis berkenaan, Wan Rosdy menyampaikan surat tawaran kepada 115 pembeli projek Rumah Makmur dan PR1MA Pahang Bandar Tun Razak yang dibangunkan oleh Angsanapuri Development.

Projek Rumah Makmur dan PR1MA Pahang Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang dimulakan pada 2016 bernilai RM17 juta dan dijangka siap pada 2025, di atas kawasan seluas 49 hektar meliputi rumah jenis berkembar setingkat sebayak 242 unit dan rumah teres setingkat sebanyak 111 unit.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata setakat 31 Jan lalu, sebanyak 16 projek meliputi 5,277 unit Rumah Makmur telah diluluskan manakala bagi Rumah PR1MA Pahang pula 108 projek meliputi 32,808 unit telah diluluskan dengan 3,942 unit telah berjaya disiapkan.

Sebuah rumah Prima bernilai RM150,000 manakala Rumah Makmur bernilai RM80,000 sebuah. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *