Kelantan kekal rekod bersih.
Oleh : AY | Foto : Suhairie Nor/Fauzi Mamat II
KOTA BHARU 8 Feb – Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi persahabatan menentang Perak II di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.
Dalam aksi persahabatan itu, Kelantan yang mempertaruhkan ‘skuad bayangan’ terlebih dahulu menguji kekuatan pasukan pelawat.
Peluang terbaik mendapat jaringan hadir menerusi rembatan kencang pemain sayap Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria minit ke-11 yang berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gawang pelawat Muhd Farhan Abd Majid.
Gol yang dicari tuan rumah akhirnya kunjung tiba menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Rhulani Manzini pada minit ke-20 selepas pemain sayap lincah Nazrin Nawi dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Kelantan terus memperagakan aksi garang menerusi beberapa gerak-gerak menarik ke kubu pelawat.
Berpunca dari serangan balas pantas, Kelantan memperoleh jaringan kedua menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat yang tenang menyudahkan hantaran rakan sepasukan Manzini pada minit ke-54.
Masuk minit ke-71, Kelantan membuat pertukaran beberapa pemain dalam usaha membentuk persefahaman terbaik dalam mengharungi saingan Liga Primier nanti.
Empat minit berselang, pelawat hampir mendapat jaringan sulung namun percubaan lawan sekadar melewati palang gol tuan rumah.
Minit ke-81, Kelantan membawa masuk Mohd. Syaiful Alias bagi menggantikan Kalloon.
Yusri kemudian terus melakukan pertukaran untuk memberikan peluang kepada beberapa tonggak untuk memperagakan aksi.
Perak cuba bangkit dan hampir memperoleh jaringan pertama namun sayang peluang itu gagal disempurnakan dengan baik.
Keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.-Kelantan FA
Kredit : Kalantan FA
#KelantanFA
#GomoKelateGomo
#TeamRedWarriors
#TheRedWarriors
#KelantanBangkit2020
#BersamaMembinaIndustriBolaSepakKelantan
#MenontonSambilMembantu