MACHANG 9 Feb. – Seorang guru besar bersama empat lelaki termasuk tiga beradik didakwa di Mahkamah Majistret Machang, hari ini kerana membunuh seorang lelaki pada penghujung bulan lalu.
Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut di Stesen Minyak Shell, Batu 31, Jalan Machang-Kuala Krai dekat sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi, pada 27 Januari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.
Tertuduh ialah Mohd Azam Seman, 23, dan dua abangnya, Muhamad Zarudin, 27; Mohd Rizal, 37; Che Muhammad Sayusi Che Musa, 29, dan Mohd Rozi Mohd Nawi, 51 tahun.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas, Abdul Rahim Abdul Wahab, 57 tahun, membunuh seorang lelaki bernama Kamsani Mohamed.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamin Aripin dan Ahmad Adha Amir Yasser. Kesemua tertuduh diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Harian Metro sebelum ini melaporkan dikatakan dua lelaki maut dalam pergaduhan yang membabitkan dua kumpulan di stessn minyak tersebut.
Difahamkan, satu kumpulan merampas sebuah motosikal daripada kumpulan lain dan dikatakan ada sedikit khianat terhadap motosikal itu.
Sementara itu, pada prosiding berlainan, 10 lelaki dituduh atas kesalahan merusuh dan bergaduh dalam kejadian sama pada 27 Januari lalu.
Tertuduh, Ahmad Husaini Haron, 24; Wan Muhammad Hafizi Wan Hussin, 29; Mohd Faizal Salleh, 40; Muhamad Akmal Syahmi Ab Arif, 27; Mohd Shafuan Asri, 31; Raja Mohd Azmi Raja Hussin, 37; Abdullah Amiruddin Amir, 29;?Norhisan Mohd Rosidi, 43; Nik Mohamad Fazli Nik Mahmud, 29; dan Ahmad Shubly Shaari, 35 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama 10 orang masih bebas sebagai ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, didapati menggunakan kekerasan atau keganasan iaitu merusuh dan bergaduh.
Kejadian berlaku di lokasi, masa dan tarikh yang sama .
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes. – UT