JERANTUT 7 Feb. – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah mencemar duli untuk bertemu rakyat di daerah ini hari ini.
Baginda terlebih dahulu berkenan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ahmad, di sini dan sempat melapangkan masa untuk beramah-mesra bersama para jemaah.
Turut mengiringi baginda termasuk Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah.
Baginda kemudiannya berangkat ke Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar untuk melihat pameran perjuangan tokoh pahlawan Pahang, Mat Kilau.
Tengku Hassanal turut berkenan mencemar duli untuk merasai kenikmatan piza kayu api yang popular di daerah ini, Piza Anak Dol sebelum bermesra bersama penduduk di Taman I-City Jerantut malam ini. UT