Jangan gadai maruah UMNO

  

 Fikirkanlah fakta ini, siapa yang menyebabkan PKR wujud? Siapa yang memungkinkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) tertubuh? Siapa yang menubuhkan Bersatu? Dan siapa pula yang sanggup bekerjasama dengan DAP semata-mata untuk meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah memberi ruang kepada beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

 Dan kini biarpun kembali menjadi Perdana Menteri, individu ini mungkin sudah memahami apa yang beliau lakukan ketika PRU-14 dahulu adalah satu kesilapan. Justeru beliau mahu mencari kesepakatan baru dengan berbaik-baik dengan UMNO dan Pas.

 Kalaulah betul apa yang mahu dilakukan adalah demi kepentingan orang Melayu dan Islam, kenapakah baru sekarang selepas hampir dua tahun Pakatan Harapan (PH) (yang dianggap pelbagai pihak didominasikan oleh DAP)  memerintah? Kenapa tidak dibubarkan sahaja Parlimen bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan baru jika mereka mahu?

  Justeru UMNO khususnya jangan terlalu teruja sangat dengan sebarang pelawaan untuk bekerjasama dengan individu berkenaan.  Seperti mana pesan Timbalan  Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, “…tetapi tujuan lamaran itu harus jelas dan perlu difikirkan terlebih dahulu.’’

 Benar kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, “Yang melamar haruslah jelas dalam tujuannya. Jika benar ia demi kepentingan Islam dan bertujuan mengukuhkan kepentingan bangsa, maka wajarlah lamaran itu difikirkan semasak-masaknya. Kepada kita yang dilamar ini, janganlah terlalu berbunga-bunga hati kita.

Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan.’’

 Penulis pula secara peribadi berpendapat, kenapa perlu UMNO bersusah payah mahu bekerjasama dengan individu tersebut sedangkan langkah parti itu bersama Pas sudah membuktikan mereka kini merupakan gabungan pembangkang terkuat.

 Tidak ada salah untuk memberi sokongan jika ada perkara berkaitan kepentingan Melayu, Islam dan rakyat secara keseluruhan, tetapi tak kanlah sampai ke tahap mahu mewujudkan `kerajaan dari pintu belakang’ seperti mana diperkatakan banyak pihak.

 Perjuangan UMNO bukan berkaitan keputusan yang dibuat oleh seorang dua pemimpin kanan parti itu atau ahli Majlis Kerja Tertinggi sahaja, jika keputusan itu akan melibatkan atau akan memberi kesan kepada ahli-ahli akar umbi, mereka sepatutnya diberi kuasa menentukannya seperti mana proses pemilihan parti dijalankan.

 Tambahan pula kenapa kelam kabut mahu mengadakan kerjasama politik dengan mana-mana parti kerajaan, ketika PH kini semakin ditolak oleh rakyat. Tak kanlah baru hampir dua tahun jadi pembangkang, ada pemimpin-pemimpin UMNO sudah resah gelisah bagaikan bernafas dalam lumpur?.

 Apakah begitu mudah pemimpin-pemimpin UMNO melupakan segala perbuatan individu tersebut sehingga UMNO kehilangan kuasa selepas 61 tahun memerintah? Dan sudahkah mereka lupa bagaimana dahsyatnya serangan individu berkenaan terhadap UMNO sebelum ini seolah-olah parti itu sekelumit pun tidak pernah berjasa kepada beliau?.

 Penulis bukanlah menentang sebarang usaha untuk menyatukan orang Melayu.

Alhamdulillah, kalau ia betul-betul ikhlas seperti mana dilakukan oleh UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional, malah penulis juga berpendapat tidak ada salahnya kalau kedua-dua parti itu menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

 Tetapi janganlah melakukan gerakan politik yang didakwa oleh sesetengah pihak hanya bertujuan untuk menyelamatkan individu-individu tertentu. Penulis tidak pasti sejauh manakah benarnya tafsiran sedemikian, cuma penulis mahu bertanya di manakah maruah UMNO apabila begitu mudah teruja untuk bekerjasama dengan individu yang sebelum ini begitu hebat memusuhi parti tersebut.

 Mungkin ada yang berhujah Pas pun dulu musuh UMNO. DAP dan PKR dulu pun musuh Dr. Mahathir, tetapi perlu ingat kesemua parti itu tidak pernah terhutang budi dengan UMNO atau pemimpinnya pernah diberi jawatan tertinggi dalam UMNO.

  UMNO kini berpeluang dan sudah membuktikan kepada rakyat , khususnya orang Melayu bahawa mereka adalah pilihan terbaik untuk menjadi kerajaan selepas apa yang berlaku kepada pemerintahan kerajaan ketika ini.

 Oleh itu tidak perlulah kelam kabut. Bersabarlah menanti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), biarlah UMNO menjadi kerajaan secara bermaruah melalui mandat rakyat.

 Kalau selama ini pemimpin-pemimpin UMNO mengecam ahli-ahli Parlimen mereka yang melompat parti, apa bezanya jika UMNO terlibat dalam usaha menubuhkan kerajaan dari pintu belakang seperti mana didakwa?.

 Justeru peliharalah maruah UMNO! Buatlah keputusan dengan sebaik-baiknya berdasarkan kehendak akar umbi kerana  seperti mana peringatan Mohamad Hasan, “…pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan.’’ – Siapakah pemimpin yang terpesona dengan nafsu tersebut?.

 Terpulanglah kepada tafsiran dan penilaian masing-masing, apa yang pasti bagi penulis, kalau benar individu itu mahu bekerjasama dengan UMNO dan Pas demi kepentingan orang Melayu dan Islam, bubar sahaja Parlimen, dalam keadaan sekarang rakyat khususnya orang Melayu pasti tahu siapa yang akan mereka pilih memimpin negara!.

 Kalau itu tidak mahu membubarkan Parlimen, cukuplah sekadar bekerjasama secara am iaitu menyokong mana yang betul dan menentang mana yang salah, UMNO dan Pas sudah membuktikan kemampuannya dalam soal ini. Seperkara lagi ingatlah, maruah UMNO bukanlah milik seorang dua pemimpin, tetapi ahli UMNO secara keseluruhannya. – UT

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *