Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat tolak PPSMI 2.0

 

 

JERANTUT 6 Feb. – Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) tidak bersetuju pelaksanaan semula  Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 2.0 berasaskan pengalaman kegagalan dasar yang sama sebelum ini.

Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik berkata, pemansuhan PPSMI 1.0 pada 2013 wajar dijadikan iktibar serta diperhalusi menerusi dapatan kaji selidik yang telah dibuat sebelum apa-apa dasar yang bakal dilaksanakan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan  tahu sepenuhnya mengenai dasar sama yang dilaksanakan dahulu melalui pengalaman perlu mendalamai perkara tersebut dengan Menteri Pendidikan sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Kita tidak bersetuju (sekiranya) pelaksanaan semula PPSMI dalam tempoh awal ini. Memadai dengan wujudnya Dual Language Programme (DLP) dan High Immersive Programme (HIP) yang dilaksanakan di sekolah terpilih ketika ini serta dapatkan hasil kajian keberkesanan keduanya sebelum dibuat dasar baharu.

“Sebaik-baiknya, PPSMI patut dimulakan di sekolah kawalan, iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta sekolah terpilih di peringkat negeri kerana pelajarnya sudah menjalani saringan akademiknya serta ‘masteri’ dalam bahasa kedua,” katanya di sini hari ini.

Menurut Jasni, kerajaan juga perlu memfokuskan latihan keguruan untuk persediaan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) khususnya penguasaan bahasa Inggeris dan amalan pedagogi bagi memantapkan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdP).

Mengulas lanjut, katanya latihan bagi kedua subjek berkenaan menggunakan bahasa Inggeris turut diberi tumpuan di IPG dan IPTA malahan guru di sekolah kerana kemahiran Sains dan Matematik amat berbeza.

“Walaupun guru yang mengajar di sekolah pernah diberi kursus jangka pendek sebelum pelaksanaan PPSMI 1.0, tetapi mereka perlu dilatih semula memandangkan silibus subjek ini kerap berubah.

“Kita berharap KPM menyediakan tenaga pakar dalam bahasa Inggeris supaya PdP bermula di peringkat prasekolah dan rendah lebih mantap supaya beberapa kelemahan dapat diatasi,” ujarnya.

Tambahnya, KGMMB tetap menolak PPSMI tetapi menghormati kenyataan serta pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memangku Menteri Pendidikan dan diharap pada peringkat awal cuma perlu dilaksanakan di sekolah kawalan sahaja. – UT

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *