TNB Kelantan bantu ibu tunggal miskin

Bantuan TNB

TUMPAT 5 Feb. – Masalah ibu tunggal Dahalia Said, 39, yang terpaksa bergelap selepas pemotongan bekalan eletrik kerana tunggakan bil mencecah RM2,126.85 berjaya diselesaikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Persatuan Pekerja Kebajikan Islam (PPKI) Kota Bharu berasaskan keprihatinan membantu kebajikan asnaf berkenaan.

Wakil pengurusan TNB Kelantan Mohd. Roshazhar Ariffin bersama rombongan telah berkunjung ke rumah ibu tungal bersama empat orang anaknya di sebuah rumah pusaka di Kampung Berangan Masjid, Tumpat, bagi menyelesaikan tunggakan bil dan penanggalan jangka.

Menurutnya, hasil kunjungan tersebut berjaya mengadakan perbincangan dengan ibu tunggal berkenaan selain meneliti lebih dekat permasalahan yang membebani kehidupan keluarga miskin itu.

“Kami bersepakat, mendapat kata putus untuk menyalurkan bantuan kepada mereka (asnaf terbabit) dengan kerjasama PKPI, Pihak TNB akan membuat proses pemasangan meter baru, menyalurkan sumbangan untuk segala pendawaian baru serta membaik pulih rumah Dahalia sekeluarga bagi memastikan anggota keluarga berkenaan dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya kepada Utusan Timur.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan kesempitan hidup yang dialami seorang ibu tunggal bersama empat anaknya menyebabkan mereka terpaksa hidup bergelap kira-kira dua tahun lalu kerana tidak mampu membayar bil elektrik yang tertunggak sehingga mencecah RM2,126.85.

Lebih menyedihkan rumah pusaka yang didiami Dahalia Said, 39, dan keluarganya juga dalam usang dengan dinding dan atap di bahagian dapur berlubang dan hampir runtuh dimakan anai-anai.

Katanya, anak-anak menggunakan lilin untuk menyiapkan kerja sekolah manakala peralatan elektrik lain seperti peti sejuk dan mesin basuh sudah lama tidak berfungsi.

Dahalia yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya dengan pendapatan kasar RM1,100 membelanjakan wang berkenaan untuk menyara empat anak, Harith Denial Zamizam, 18, sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Harith Daiyan Zamizam, 16, pelatih di Giat Mara Tumpat.

Dua lagi, Harithah Zayani, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Berangan dan Husna Izara Nordin, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Berangan 1, Tumpat.

“Gaji yang saya dapat setiap bulan digunakan untuk makan dan minum kami sekeluarga. Biasanya makan nasi goreng dengan telur hancur sahaja. Kadang-kadang ada lauk ikan dan jarang juga dapat makan ayam,” katanya ketika ditemui di rumahnya,” katanya.

Mohd. Roshazhar berkata, TNB menerusi program sosial korporat bersama PKPI anak memastikan usaha membantu keluarga berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *