Kakitangan kedutaan dan agensi Malaysia di China dibawa pulang

 

BENTONG 5 Feb. – Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang semua pegawai, kakitangan serta keluarga kedutaan dan agensi kerajaan  Malaysia seramai 298 orang di lapan Wilayah di China termasuk di Taipei bagi membendung wabak penularan novel koronavirus yang melanda negara berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Kabinet yang bermesyuarat pagi tadi telah bersetuju membawa balik pegawai Wisma Putra dan pegawai dari agensi kerajaan berikutan penularan wabak novel koronovirus ( 2019-nCov).

Menurutnya, mereka terdiri daripada pegawai Wisma Putra di kedutaan dan konsulat di China seramai 34 orang.

Tambahnya, jumlah ini termasuk tanggungan pegawai Wisma Putra seperti isteri dan anak- anak seramai 77 orang menjadikan keseluruhan 111 orang.

“Manakala jumlah bilangan pegawai agensi kerajaan seramai 52 orang serta tanggungan mereka seramai 135 orang menjadikan seramai 187 orang.

“Paling ramai terbabit dibawa keluar ialah dari Beijing seramai 104 orang, ‘ katanya di majlis sepakat Komuniti Tahun Baru Cina Rumah Sejahtera Bentong hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bentong Wong Tack; Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman dan Pengarah Penerangan Pahang, Mohd Salmun Mustaffa.

Beliau berkata, agensi kerajaan terbabit dibawa keluar antaranya Pelancongan Malaysia.

Menurutnya, mereka ini tinggal dan bertugas di beberapa wilayah iaitu Beijing, Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai, Xi’an dan Taipei.

“Mereka dibawa pulang melalui pesawat komersial mulai esok secara berperingkat-peringkat di mana kos ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Tegasnya, semua penumpang perlu mematuhi prosedur di tetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara ( NADMA).

Menurutnya, mereka sebelum menaiki pesawat akan melalui tapisan kesihatan mengikut ketetapan pihak penerbangan sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.

“Sebaik sahaja tiba ke Malaysia semua penumpang sekali lagi akan melalui tapisan kesihatan di Air Disaster Unit ( ADU) KLIA,” katanya.

Tegasnya, mereka yang dikesan mempunyai simpton akan dibawa terus ke hospital manakala yang melepasi saringan akan dibawa terus ke pusat pemantauan untuk karantin yang ditetapkan untuk tempoh 14 hari.

Tambah beliau, pihaknya akan menentukan pegawai yang akan terus tinggal untuk menguruskan pentadbiran di sana manakala selebihnya di bawa pulang.

Menurutnya, pihak kerajaan juga berusaha membantu membawa bekalan makanan kepada rakyat Malaysia yang masih tinggal di China kerana mereka tidak bebas keluar akibat penularan virus coronavirus di negara berkenaan. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *