RAUB 4 Feb. – Pusat Rekreasi Jeram Bangkin, Dong merupakan kawasan destinasi perkelahan keluarga terbaru yang menarik di daerah ini.
Jeram Bangkin antara pilihan tepat untuk dikunjungi selain Bukit Fraser, Jeram Besu, Lata Jarum, Lata Lembik, Pulau Chekas, Tanah Aina Farrah Soraya, Raub Durian Orchard dan lain-lain.
Ini adalah keistimewaan Raub satu daerah dalam negeri Pahang yang menyimpan pelbagai khazanah alam seperti air terjun, hutan semula jadi, gunung dan rimba.
Disebalik hutan tebal di daerah ini tersimpan beberapa tempat menarik yang berbaloi untuk dikunjungi. Dari tempat rekreasi seperti air terjun hinggalah ke pusat penginapan eksklusif.
Jeram Bangkin pusat rekreasi terbaru dibangunkan pada Disember 2018 di kawasan seluas kira 2 hektar persegi di kawasan sungai Gunung Benom.
Kedudukannya di tepi jalan raya di pekan Dong menjadikan Pusat Rekreasi Jeram Bangkin menjadi pilihan ramai.
Ketua Kampung Lechar, Ishak Ibrahim, 51, berkata, pusat rekreasi ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung ( JKKK) hasil peruntukan Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar sebanyak RM270,000 dari Pejabat Pelancongan Negeri.

“Potensi kawasan ini disedari apabila mendapat sungainya mengalir jernih, sejuk dicelah-celah batu sungai amat sesuai dijadikan tempat berkelahan dan berkhemah.
“Inisiatif JKKK Kampung Lechar membersihkan kawasan ini dan didirikan pelbagai kemudahan seperti surau, gazebo, kerusi, papan tanda, tempat meletak kenderaan dan tandas telah menjadi tarikan pengunjung.
“ Walaupun dikenakan sedikit bayaran tetapi orang ramai tidak masalah kerana mendapati kawasan ini cantik dan selamat untuk berkelah dan memancing ikan baung, sebarau dan ikan sungai yang lain.
“ Sejak dibuka lebih 6,000 orang mengunjungi Pusat Rekreasi Sungai Bangkin terutama pada hujung minggu dan cuti umum,“ katanya kepada Utusan Timur di sini.
Pengunjung Syed Abdul Rahman Rafik,25, dari Benta mengakui tempat ini sangat bersih, dijaga rapi sesuai untuk konvoi bermotor singgah bersantai di sini melepaskan lelah.
Mohd Asraf Midun,21, dari kampung Jeransang, Lipis menyifatkan destinasi ini mudah dikunjung oleh orang ramai kerana berdekatan dengan pekan Dong.
Syafik Azmi, 22, dari Dong memuji tempat ini sangat sesuai untuk perkhelahan keluarga dan kawasan perkhemahan aktiviti kokurikulum pelajar sekolah.
“ Pengunjung boleh mandi di tengah hari di celah-celah batu dengan aliran sungai yang sejuk, santai dan mengasyikkan melepaskan lelah mencari rezeki,“ katanya. – UT