Strategi Tun M lemahkan UMNO?

 

 TANPA semena-mena UMNO kini berada dalam krisis apabila tercetus pendedahan bahawa beberapa pemimpin kanan parti itu bersedia untuk mengadakan kerjasama dengan Tun Dr.Mahathir Mohamad melalui apa yang dipanggil Pakatan Nasional (PN).

 Pakatan itu didakwa tajaan Dr. Mahathir bagi membentuk satu kerajaan baru antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas dan sebahagian ahli Parlimen daripada PKR yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Dan yang pasti pakatan ini tidak akan melibatkan DAP serta ahli Parlimen daripada PKR yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah Amanah juga tidak akan dipanggil turut serta.

 Sememangnya ahli-ahli politik terlibat tidak kira daripada parti mana sekalipun dan siapapun mereka boleh melakukan apa juga gerakan politik, tetapi mereka perlu ingat, akhirnya yang akan menilai, menghitung dan menentukan nasib mereka ialah rakyat.

 Ketika ini rakyat khususnya orang Melayu amat memahami bahawa Dr. Mahathir biarpun menjadi Perdana Menteri dan menguasai 26 kerusi Parlimen yang tujuh daripadanya berasal daripada UMNO berada dalam kedudukan cukup lemah.

Dr. Mahathir sekarang bukan Dr. Mahathir dahulu yang mempunyai kerusi majoriti di Parlimen dan mempunyai kuasa mutlak sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan, sebaliknya Dr.Mahathir sekarang ialah Dr.Mahathir yang diletakkan menerajui negara selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018 hasil sokongan jitu  PKR (50 kerusi),  DAP (42 kerusi), Amanah (11 kerusi) dan PPBM (16 kerusi). – Majoriti mereka adalah terdiri daripada `musuh beliau yang paling nyata’ ketika beliau berada dalam Barisan Nasional (BN) dahulu.

 Senang cakap, Dr. Mahathir boleh dianggap Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah politik negara sejak merdeka kerana menjadi Perdana Menteri tanpa partinya mempunyai kerusi  majoriti. Beliau kembali menjadi Perdana Menteri adalah atas ehsan PKR dan DAP, malah hakikatnya sebelum PRU-14, kesemua parti pembangkang bersetuju hanya Dr.Mahathir sahaja mempunyai pengaruh ketika itu bagi menumbangkan kerajaan BN.

 Justeru mereka `memperalatkan’ pengaruh Dr. Mahathir bagi mempengaruhi rakyat yang ketika itu sudah teruja untuk menyingkirkan kerajaan di bawah kepemimpin Datuk Seri Najib Tun Razak. Melalui janji-janji palsu dan manifesto yang menjanjikan bulan bintang, Dr. Mahathir ketika itu diangkat `penyelamat negara’, maka berakhirlah riwayat pemerintahan BN.

 Kalau mahu difikirkan sejak awal lagi, PKR dan DAP bukan ikhlas sangat mahu menerima Dr. Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, mereka terpaksa berbuat demikian kerana pemimpin idola mereka iaitu Anwar berada dalam penjara, sebab itulah perjanjian dibuat bahawa Dr. Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri sementara dan kononnya ada perjanjian jawatan itu perlu diserah kepada Anwar selepas dua tahun.

 Tetapi kini selepas dua tahun PH memerintah, rakyat khususnya orang Melayu mulai sedar bahawa Dr. Mahathir yang mereka sanjung sebelum PRU-14, bukanlah Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Dr. Mahathir dilihat begitu lemah dan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan. Segala-galanya perlu mendapat persetujuan PKR, DAP dan Amanah.  

 Dalam keadaan sedemikian, Dr. Mahathir memahami beliau tidak boleh bergantung kepada pemimpin-pemimpin Bersatu untuk mengekalkan kuasanya. Dr.Mahathir perlu mencari alternatif lain jika beliau mahu kekal berkuasa atau tidak perlu menyerah kuasa kepada Anwar.

 Tambahan pula ketika ini sokongan orang Melayu kembali beralih kepada UMNO dan Pas yang bergabung dalam Muafakat Nasional. Dr.Mahathir tahu, jika beliau tidak berbaik-baik dengan kedua-dua parti itu, beliau mungkin akan tersingkir lebih awal daripada kerusi Perdana Menteri.

 Bagi penulis, Pas tidak ada masalah kerana awal-awal lagi sudah konsisten akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui kerjasama dengan UMNO tetapi akan menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal. Pas tidak pernah bercakap soal menubuhkan kerajaan pintu belakang, apatah lagi  bersedia bersama Dr.Mahathir mewujudkan kerajaan baru.

 Tetapi malangnya dalam UMNO situasi

berbeza, ada antara pemimpin parti itu yang mahukan UMNO bersama Dr. Mahathir menubuhkan kerajaan baharu dan ada pula yang menentang tindakan tersebut. Akhirnya, Pas terus tenteram, UMNO pula berkeceramuk sehingga `berperang’ sesama sendiri. Inilah masalah UMNO sejak dulu lagi! Sering bercakaran sesama sendiri dan tidak bijak untuk menyelesaikan masalah secara diam-diam seperti mana diamalkan oleh Pas.

 Sepatutnya selesailah secara berhemah kerana apa yang berlaku sekarang hanya akan menyebabkan UMNO menjadi lemah! Bagaimana kalau itu yang dimahukan oleh Dr.Mahathir? Dr.Mahathir bukanlah sebarangan politikus biarpun partinya tidak mempunyai kerusi di Parlimen. Mungkin Dr.Mahathir tidak berupaya untuk menundukkan DAP untuk patuh kehendaknya sebagai Perdana Menteri tetapi kalau setakat memecah belah UMNO, ia bukanlah satu kerja yang sukar.

 Apatah lagi Dr. Mahathir mengenali berpuluh-puluh tahun setiap seorang pemimpin kanan UMNO, sama ada mereka hebat atau tidak, bermasalah atau tidak, boleh diajak berunding atau tidak, semuanya ada `dalam poket’ ahli politik veteran berusia 95 tahun itu.

 Justeru itulah tidak kira apapun keputusan yang mahu dibuat oleh UMNO, pemimpin-pemimpin parti itu perlu menimbang dengan semasak-masaknya. Mereka tidak boleh membuat keputusan yang akhirnya akan memudaratkan parti itu dalam PRU-15.

 Kalau benar Dr.Mahathir ikhlas mahu menyatukan semua ahli Parlimen Melayu bagi mengekang penguasaan DAP seperti mana diperkatakan orang banyak pihak, boleh sahaja, dengan syarat,  bubarkan Bersatu di mana semua pemimpin dan ahlinya boleh memilih menyertai UMNO atau Pas, beliau sendiri berundur sebagai Perdana Menteri dengan menyerahkan kepada pakatan baru untuk menentukan siapakah yang akan menggantikan beliau.

Dan pilihan terakhir yang paling adil jika Dr.Mahathir ikhlas ialah bubarkan Parlimen dengan mengembalikan mandat kepada rakyat. Soalnya mahukan Dr. Mahathir berbuat demikian? Bagi penulis, sekadar untuk bermimpi boleh sahaja.

 Oleh itu, tidak payahlah pemimpin dan ahli UMNO berbalah sesama sendiri. Jangan termakan dengan percaturan politik orang lain. Istiqamahlah bersama Pas untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional. Rasanya itu lebih berbaloi daripada membuat keputusan yang akhirnya ibarat `yang dikejar tak dapat dikendong berciciran.’ – UT

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *