TEMERLOH 3 Feb. – Bekas Timbalan Menteri UMNO dan aktivis Parti Semangat 46, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar bakal mewarnai pertandingan jawatan utama dalam parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu).
Tengku Azlan, 71, bekas Ketua UMNO Bahagian Jerantut selama tiga penggal menyuarakan kesediaan bertanding jawatan Ketua Bahagian Bersatu Temerloh.
Di Bahagian Temerloh Tengku Azlan akan ditentang oleh dua calon penduduk Tempatan iaitu usahawan, Datuk Rafaie Hamdan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Temerloh, Mohd Anuar Aziz.
“ Saya tergerak hati untuk bertanding Ketua Bersatu Temerloh setelah diminta oleh rakan karib yang tahu kredibiliti saya supaya memimpin Bahagian Temerloh. Saya keluar UMNO setelah tidak percaya kepimpinan parti berkenaan.
“Kesediaan saya tidak lain tidak bukan untuk membantu meningkatkan Bahagian agar struktur parti lebih tersusun dan pentadbiran tersusun selari dengan komponen parti pemerintah.
“Bagi saya apabila parti tersusun dengan sendirinya sedikit sebanyak dipandang tinggi oleh masyarakat berikutan perjalanan pentadbiran parti yang berdisiplin, kukuh dalam keadaan harmorni,” katanya.
Tengku Azlan menyatakan demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan penyokongnya di Mentakab Pahang hari ini.
Regu beliau ialah Datuk Seri Alimudin Samah sebagai Timbalan Ketua; Mohd Kazuran Abd Rahman ( Naib Ketua ); Kama Azrill Kamaruzaman ( Ketua Armada) dan Siti Aisyah Ismail ( Ketua Srikandi).
“Saya berharap kempen cara yang sihat. Tidak memburuk- burukkan satu sama lain. Ini kerana pertandingan satu keluarga. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga.
“Saya juga berharap tidak wujud adegan cantas mencantas kerana akan memusnahkan parti. Utamakan perpaduan. Kesilpan UMNO jadikan panduan,” katanya.
Dalam hal ini tegasnya, pewakilan boleh merujuk trek rekod beliau sebagai bekas Ketua UMNO Jerantut dan mantan Timbalan Menteri kerana ianya tidak boleh berbohong.
Beliau berkata usaha itu dilakukan demi kelangsungan parti untuk meneruskan perjuangan terutama dalam memperkasakan orang Melayu.
Tengku Azlan seterusnya mengingatkan ahli PBPM tidak sama sekali memburuk-burukkan UMNO kerana parti keramat itu tidak berdosa. Jangan jangan lupa jasa UMNO pada bangsa dan negara.
“Bersatu adalah salinan kepada parti UMNO yang berjuang bersama demi kepentingan Orang Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu.
“Jika orang Melayu terancam semua parti Melayu wajib bersatu tanpa mengira ideologi politik demi survival Orang Melayu, Islam dan negara bangsa,” katanya.
Untuk rekod Pengerusi Bersatu Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam satu kenyataan menegaskan semua ahli Bersatu boleh bertanding mana-mana jawatan pada pemilihan parti itu tahun ini.
Perdana Menteri berkata, tiada halangan untuk ahli parti itu menjadi calon bagi mana-mana jawatan termasuk di peringkat tertinggi, asalkan mereka menjadi ahli berdaftar dan membayar yuran. – UT