(VIDEO) Tarik diri selepas ditumbuk di dada, petinju Thailand akan digantung

 

KOTA BHARU 3 Feb. – Presiden MFMP, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abd Ghani berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan petinju terkenal negara jiran itu bertindak tidak profesional ketika bertarung menentang petinju kelahiran Estonia, Andi Ustalu pada Kejohanan KMC Fight.

Pada perlawanan julung kali diadakan tanpa memakai sarung tangan (Kard Chuek) itu, Iquezang hanya sempat bertarung beberapa minit sebelum menarik diri berikutan rebah akibat terkena tumbukan di bahagian dada sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati peminat yang hadir menyaksikan pertemuan regu itu.

“MFMP melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap insiden berlaku ini apatah lagi ia merupakan perlawanan ‘Kard Chuek’ yang pertama seumpamanya berlangsung di negara ini.

“Bayangkan lebih 8,000 peminat hadir semata-mata untuk melihat pertembungan hebat dua petinju itu namun apa yang terjadi adalah sebaliknya,” katanya.

Justeru, Mohd Fared menegaskan, pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Konsulat Jeneral Thai di Kelantan, Pejabat Sukan Negara Thailand dan kelab yang diwakili petinju itu.

Malah penganjur, Kelantan Muay Thai Channel (KMC) juga tidak terlepas apabila diarahkan memberi penjelasan bertulis berhubung insiden yang memalukan itu.

“Apa pun yang berlaku, saya harap ia tidak menjejaskan sokongan peminat Muay Thai khususnya di Kelantan terhadap sukan ini.

“MFMP memandang serius berhubung insiden ini dan menggesa semua pihak berkepentingan memperbaiki kelemahan seperti ini agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Pada perlawanan malam semalam, seramai enam regu melibatkan 12 petinju beraksi dengan pertemuan jaguh Muay Thai negara, Mat Ropi Persatuan Muay Thai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menentang petinju Laos, Sak Souliyavong turut mencuri perhatian.

Kejohanan yang diselubungi kontroversi itu dirasmikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *