Jasa budak pejabat UMNO Lipis tidak dilupakan

 

LIPIS 3 Feb. – Suratan dan takdir Allah menentukan haluan kehidupan seseorang.

Apapun sebagai hamba, kita wajar terima dugaan dan cabaran ini kerana Allah ‘sayangkan’ kita menerusi ujian tertentu.

Begitulah nasib yang ditanggung oleh seorang bekas budak pejabat di pejabat UMNO Lipis, Dzulakefly Mohd. Yunus, 58, yang mengidap penyakit kronik, iaitu kencing manis.

Semasa bertugas, Dzulakefly yang cukup setia dengan perjuangan UMNO melakukan pelbagai tugas pejabat.

Tugasnya bukan sahaja setakat di kaunter, menguruskan fail pejabat, surat-menyurat, menjawab panggilan telefon sehinggalah menjangkau menyusun kerusi meja di dewan, memasang banting, menguruskan pembesar suara, jurukamera dan sajian makanan ketika majlis tertentu.

Boleh dikatakan pelbagai peringkat usia dan masyarakat di Lipis mengenali Dzulakefly lebih lagi yang kerap berurusan dengan wakil rakyat di pejabat UMNO Lipis.

Lantaran penyakit kencing manis lebih kronik yang ditanggung  menyebabkan Dzulakefly tidak boleh berjalan dan segala kebajikannya hanya diuruskan oleh isterinya Fuadah Osman , 55.

“Saya bertugas selama 20 tahun di pejabat UMNO Lipis dan bersara tiga tahun lalu selepas penyakit kencing manis yang dikesan pada 2007 bertambah teruk.

“Kini, saya cuma menginap di rumah dan hanya berbantukan ubat dan berulang alik ke hospital mengikut jadual,” katanya di Taman Baru Lipis, di sini semalam.

Dia ditemui Utusan Timur selepas menerima sumbangan sebuah kerusi roda dan bantuan peribadi daripada Naib Ketua UMNO Lipis, Datuk Mustapa Long.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada UMNO Lipis kerana memberi sedikit keselesaan untuk saya bergerak dalam rumah,” katanya.

Dzulakefly yang mempunyai lima orang anak dan sembilan orang cucu berasal dari Kampung Kuala Telang, dekat sini mempunyai banyak pengalaman dan nostalgia semasa bertugas di bawah empat orang Ketua UMNO Bahagian di pejabat UMNO di sini.

“Saya yakin UMNO Lipis tetap kuat apabila diterajui pemimpin yang setia dan berwawasan.

“Manakala, kekuatan parti keramat orang Melayu yang unggul ini perlu mantap (kekal) dengan nilai perpaduan serta muafakat ahlinya ‘ katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku berkata, Dzulakefly banyak menyumbangkan bakti dan kesetiaan semasa bertugas di pejabat berkenaan.

“Dia amat faham dengan tugas dan tanpa beralasan membuat sesuatu kerja sehingga selesai terutamanya persiapan persidangan dan gerak kerja semasa pilihan raya.

“UMNO Lipis akan membantu kebajikan dia dan keluarganya malahan semua golongan yang memerlukan pertolongan sejajar dengan manifestasi parti orang Melayu yang tertua di negara ini,” tambahnya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *