Siapa `walaun’, menteri atau netizen?

SEMEMANGNYA melucukan apabila ada menteri yang tidak senang dengan kritikan netizen terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani sesuatu isu. Jika ketika sebelum PRU-14 lalu, netizen dalam laman-laman sosial dianggap `wira suara rakyat’ tetapi kini situasi sudah berbeza.

Netizen kini dianggap bagaikan `musuh’ biarpun mereka sebenarnya rakyat biasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan menyuarakan pandangan demi kepentingan negara, tetapi ada menteri yang tahap pemikiran lebih rendah daripada pelajar sekolah sehingga sanggup menggunakan perkataan, `walaun’ kepada netizen.

Inilah nasib Malaysia hari ini yang mempunyai beberapa menteri tidak cerdik dan masih lagi berfikiran seperti kebudak-budakan walaupun setiap bulan menikmati gaji berpuluh-puluh ribu ringgit hasil cukai rakyat.

Sepatutnya setiap pandangan netizen diambil kira atau setidak-tidaknya balaslah dengan hujah berhemah bukan dengan perkataan yang tahap jauh lebih rendah daripada `mat rempit’.

Tidakkah menteri berkenaan sedar bahawa PH yang bertanggungjawab mengajar rakyat untuk mengkritik kerajaan. Ini seperti mana ditegaskan oleh bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tidak lama dahulu yang menegaskan, “budaya mengkritik dasar-dasar kerajaan telah meresap ke hati rakyat sebagaimana yang pernah dibawa oleh PH sebelum merampas kepemimpinan Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.’’

Kata Tian Chua lagi, “Sekarang rakyat berani lawan kerajan dan kutuk menteri. Itu kita tidak boleh pertikai kerana kita sendiri yang ajar rakyat buat dan ini menjadikan kita mangsa.’’

Kenyataan itu dibuat beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Serdang 2019, adalah tepat dan bernas. Tian Chua ternyata berfikiran terbuka menerima kritikan rakyat berbanding sesetengah ahli Parlimen PH yang `sudah sedap’ menjadi menteri tetapi cepat melenting apabila dikritik oleh rakyat.

Sepatutnya, para menteri bersikap terbuka. Kalau dahulu ketika menjadi pembangkang, mereka begitu berbangga apabila netizen menyerang kerajaan BN habis-habisan, tak kanlah sekarang bila sudah ada kuasa, netizen dianggap `walaun’.

Kalau mahu dianggap `walaun’ siapakah lebih sesuai apakah netizen yang menzahirkan suara rakyat atau menteri yang tidak cerdik menangani sesuatu isu? Kalau tidak mahu dikritik oleh rakyat, tidak payahlah menjadi menteri. Di mana-manapun di dunia, tiada ahli politik, Perdana Menteri atau anggota Kabinet terlepas daripada kritikan rakyat.

Justeru berhemahlah apabila sudah menjadi menteri. Rakyat ada hak kerana mereka bergantung kepada kerajaan untuk kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara. Kalau kritikan itu membina, ambillah ia sebagai rujukan, kalau tiada fakta, biarkan sahaja, tidak payahlah guna perkataan dalam laman sosial yang memaparkan ketidakcerdikkan kita berhadapan dengan kritikan. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *