Felcra buka ladang getah 348 hektar di Ulu Tembeling

Wan Rosdy (tengah) menunjukkan cara menoreh getah sebagai simbolik perasmian ladang getah milik Felcra di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam.

JERANTUT 31 Jan. – Pembukaan ladang getah seluas 348 hektar milik Felcra Berhad dijangka memberi manfaat kepada 200 peserta di sekitar Ulu Tembeling, dekat sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sekaligus mampu menjana ekonomi penduduk setempat.

“Kita harap penduduk yang terpilih dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan ladang berkenaan di Kampung Bantal, Ulu Tembeling petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ketua UMNO Jerantut, Datuk Nazri Ngah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.

Wan Rosdy yang melakukan lawatan kerja dua hari ke daerah ini turut mengumumkan peruntukan daripada kerajaan negeri bagi menyediakan dan menambahbaik kemudahan infrastruktur kepada penduduk sekitar Kuala Tahan dan Ulu Tembeling.

Beliau memberitahu, peruntukan sebanyak RM160 juta akan disalurkan bagi projek tambahan pesisiran Jalan Ulu Tembeling manakala RM410 juta untuk projek Jalan Ulu Tembeling ke Pasir Raja.

“Kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk membina telaga ‘tube’ sebagai penyelesaian jangka pendek bagi masalah air penduduk Kampung Tanah Pindah, Bukit Mat Daling.

“Peruntukan sebanyak RM20,000 pula akan digunakan untuk membaik pulih beberapa masjid dan surau di Kuala Tahan serta Ulu Tembeling,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha untuk menyediakan lebih banyak kemudahan infrastruktur kepada penduduk di Ulu Tembeling pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd Zakhwan berkata, beliau mewakili penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak mengabaikan kebajikan mereka semua terutama yang tinggal di kawasan pedalaman. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *