1,018 Pekebun sayur Cameron Highlands dapat LPS


JERANTUT 31 Jan. – Kemelut pekebun sayur yang berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di Cameron Highlands akhirnya menemui penyelesaian apabila kerajaan negeri menawarkan pemilikan tanah secara sewa berdaftar di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

Wan Rosdy Wan Ismail (2 dari depan) menaiki bot penambang Sungai Tembeling ketika bertemu dengan penduduk Hulu Tembeling di Kampung Pagi, Jerantut hari ini.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 1,018 orang pekebun yang juga pemegang LPS sebelum ini telah dikenalpasti untuk ditawarkan penyewaan tanah tersebut.

“Surat tawaran sewaan akan dikeluarkan hari ini secara berperingkat dan setiap penyewa akan diberi keluasan tanah maksimum 1.2 hektar dengan tempoh penyewaan selama tiga tahun,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Mukim Hulu Tembeling di Kampung Pagi, dekat sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, perjanjian sewa itu tertakluk kepada beberapa syarat yang akan ditentukan, antaranya penyewa diwajibkan memperoleh Pensijilan Amalan Baik Pertanian (MyGap) bagi penyambungan tempoh sewaan tahun berikutnya.

Katanya, ia melibatkan kawasan seluas 5,526.219 hektar iaitu  di Hulu Telom seluas 5,040.005 hektar (58 blok), Ringlet seluas 467.746 hektar (14 blok) dan Tanah Rata, seluas 18.468 hektar (6 blok).

“Bagi menentukan pengurusan tanah yang lebih cekap dan efisien, kerajaan negeri telah melantik Pahang Corporation Sdn Bhd (PCSB) sebagai agensi yang menyelaraskan tanah tersebut.

“Kaedah sewa berdaftar ini sangat signifikan dan menguntungkan pekebun sayur, antaranya tempoh sewaan yang lebih lama, iaitu selama tiga tahun berbanding setahun menerusi LPS sebelum ini, ” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju sebanyak 78 blok tersebut dipajakkan kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) yang kemudiannya memajakannya kepada PCSB selaku pihak pengurusan hartanah.

“Manakala, PCSB pula akan menyewa tanah berkenaan kepada pekebun sayur yang telah pun diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Tanah Daerah Cameron Highlands,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKCH akan menyelaras kelestarian alam sekitar dan pembahagian blok kepada pekebun sayuran secara bersistematik ke arah produk hasil pertanian yang berkualiti di negara ini. 

Katanya, dengan mensyaratkan pekebun menerusi amalan MyGap untuk pembaharuan sewaan, secara tidak langsung akan menjamin sumber makanan yang bersih dan juga kelestarian alam sekitar.

“Bagi tahun ini, penyewa akan diberi kan kursus pengenalan dan pendedahan berkaitan pensijilan MyGAP.

“Pada tahun depan, penyewa akan mula mengamalkan kaedah penanaman berasaskan tatacara MyGAP sebelum dipersijilkan pada 2022,” tambahnya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *