Pemantapan pengurusan JKKK – Kerajaan Pahang peruntukan dana sebanyak RM7 juta

JERANTUT  30 Jan. – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta untuk membiayai elaun dan kemudahan pengurusan sebanyak 542 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu melibatkan elaun dan kemudahan mengurus setiap JKKK yang dibiayai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.

“Kita masih mampu membiayai pengurusan organisasi di peringkat kampung ini berasaskan kedudukan dana kewangan negeri kukuh menerusi kadar peningkatan kutipan cukai setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama-sama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut serta Penyerahan Watikah Lantikan Pengerusi JKKK dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri kepada JKKK peringkat negeri di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zakaria Ibrahim; barisan exco kerajaan negeri dan Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Zuridan Mohd. Daud (berdiri) sedang menyampaikan bungkusan pulut rendang kepada penduduk Tionghua di sebuah kedai kopi Bandar Lama Jerantut, Jerantut semalam.

Sempena majlis itu, Wan Rosdy telah menyampaikan sumbangan ‘one-off’ JKKK bernilai RM2.7 juta kepada  semua JKKK menerusi ahli exco mewakili daerah masing-masing.

Beliau juga turut menyerahkan sumbangan bernilai RM290,000 kepada Pengerusi Jawankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah yang mewakili JKKK Jerantut bagi membiayai pentadbiran dan program tertentu.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai berkata, sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada setiap 542 JKKK di 10 daerah negeri ini daripada sejumlah peruntukan one off tersebut.

Katanya, dari jumlah tersebut, sebanyak 58 buah JKKK daerah ini menerima peruntukan bernilai RM290,000,Temerloh sebanyak RM450,000 (90 JKKK) dan Lipis sebanyak RM405,000 (81 JKKK).

Manakala, JKKK daerah lain yang juga menerima peruntukan mengurus, iaitu Pekan bernilai RM360,000 (72 JKKK), Kuantan sebanyak RM325,000 (65 JKKK); Maran sebanyak RM245,000 (49 JKKK); Raub sebanyak RM235,000 (47 JKKK), Rompin sebanyak RM165,000 (33 JKKK), Bentong sebanyak RM135,000 (27 JKKK) dan juga  Bera bernilai RM100,000 (20 JKKK).

Katanya, peruntukan dana untuk organisasi berkenaan mencukupi dan kerajaan negeri tetap mengutamakan keselesaan pengurusan ahli JKKK memandangkan ia (JKKK) merupakan jambatan penghubung dengan kerajaan negeri dan daerah dari segi perancangan pembangunan setempat malahan kebajikan rakyat khususnya.

‘Kira mampu berdikari memantap serta melancarkan pentadbiran dan pengurusan jabatan peringkat negeri termasuk pemberian bonus tahunan untuk pegawai dan kaki tangan di bawah kerajaan negeri,’ katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mewujudkan semula JKKK pada 1 Januari tahun ini berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) baru-baru ini.

“Hasrat kita untuk memantapkan pentadbiran serta kemakmuran  kawasan kampung direalisasikan apabila mewujudkan sebanyak 542 buah JKKK dengan tempoh pelantikan ahlinya selama dua tahun.

“Apapun, tempoh yang akan berakhir pada 31 Disember 2021 boleh dilanjutkan atau diluputkan oleh Menteri Besar atas syor atau perakuan oleh Jawatankuasa Pemilihan Daerah melalui Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” tambahnya.- UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *