KUALA TERENGGANU 30 Jan. – Selepas sebulan mengiklankan diri dengan menggantung bunting sehingga tular di mana sosial untuk mencari calon isteri, akhirnya seorang pemuda telah bertemu bakal suri hidupnya.
Semalam MalayMail melaporkan, Nooraziro Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aziro memaklumkan dia sudahpun menjumpai calon isteri yang dimahukannya.
Menurut Aziro, wanita berusia 33 tahun itu menghubunginya selepas melihat iklan mencari jodoh olehnya yang tular sebelum ini.
Bukan saja bertukar-tukar pesanan melalui telefon, Aziro juga memberitahu dia sudahpun berjumpa dengan calon isterinya itu pada minggu lepas sambil ditemani adik perempuannya.
“Walaupun dia bersetuju untuk saya menjadi suaminya, namun kami masih mahu berkenalan antara satu sama lain terlebih dahulu,” kata Aziro kepada MalayMail.
Aziro juga memaklumkan calon isterinya itu juga berasal dari Kuala Terengganu dan kini sedang bekerja sebagai seorang kerani di sana.
Awal tahun ini, tular di media sosial gambar bunting yang memaparkan seorang lelaki bernama Aziro mencari pasangan hidupnya dengan mengiklankan dirinya sendiri.
Iklan tersebut yang digantung di tepi jalan kemudiannya mendapat perhatian ramai dan tindakannya itu turut mendapat reaksi pelbagai daripada netizen dan tidak kurang juga daripada gadis dan wanita bujang di luar sana.
Walaupun iklan tersebut diturunkan oleh Majlis Perbandaran Dungun selepas itu, dia bagaimanapun memaklumkan masih menerima panggilan daripada orang ramai tentang perkara itu.
Pemuda berusia 35 tahun itu berkata, dia bukan saja menerima panggilan dari Terengganu tetapi ada yang menghubunginya datang dari Johor, Klang, Sarawak dan paling mengejutkannya ada yang berasal dari Indonesia cuba menghubunginya.
Walaupun cara yang digunakan oleh Aziro ini pada awalnya kelihatan sedikit tradisional berbanding kebanyakan golongan muda yang lebih gemar menggunakan aplikasi mencari jodoh dalam talian, namun ianya terbukti berhasil dan efektif.
Dalam tempoh masa lebih kurang sebulan, beliau sudahpun menjumpai calon isterinya walaupun caranya mengiklankan diri sendiri pada awalnya kelihatan sedikit janggal.- UT