`Gertakan’ Kor Ming, DAP `Besar Kepala’

 

NGA Kor Ming boleh memberi apa juga alasan apabila menyatakan kenyataan beliau bahawa DAP akan keluar daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika UEC tidak diiktiraf telah dipetik dalam konteks yang salah oleh media pro-PH, Malaysiakini.

Tetapi apa yang pasti portal berita tersebut tidak menarik balik laporan tersebut sebaliknya menyiarkan kembali berita `gertakan’ Kor Ming itu dengan ayat; `Nota editor: Sedikit pindaan dibuat pada berita ini supaya lebih jelas.’

Tidak tahu apa yang dipinda tetapi berdasarkan siaran terbaru pada pukul 2.34 petang semalam (29 Januari) – tiga para pertama berita itu berbunyi,:
`DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), kata Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming.

“Kita malah capai kesepakatan bahawa bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf. Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang,” kata Nga kepada Oriental Daily.

Perlu diingat laporan ini disiarkan oleh Malaysiakini yang semua tahu amat rapat dengan pemimpin DAP, kalau betul lah Malaysiakini tersalah lapor sudah pasti, mereka akan membuat ralat, tetapi kalau berdasarkan siaran terbaru berita itu, ternyata Malaysiakini seolah-olah mempertahankan laporan awalnya berkaitan `gertakan’ Kor Ming.

Tambahan pula Malaysiakini turut menyiarkan pada hari yang sama kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dengan tajuk “DAP keluar PH? Hanya ugutan kosong untuk tekan Dr M, kata MP PAS’.

Kalaulah Malaysiakini yakin mereka tersalah lapor sudah tentu mereka tidak akan menyiarkan kenyataan balas Ahmad Fadhli? Dan kalau betul lah Malaysiakini tersalah lapor kenyataan Kor Ming seperti mana beliau dakwa, adakah ia bermaksud Ahli Parlimen Taiping itu ingin menyatakan, `DAP tidak sampai ke tahap keluar kerajaan jika UEC tidak diiktiraf’, maknanya kalau kerajaan tidak diiktiraf UEC, DAP tetap bersama kerajaan.’ Kalau itu maksudnya, adakah DAP berpura-pura memperjuangkan UEC semata-mata mahu meraih sokongan kaum Cina?

Apapun `gertakan’ Kor Ming mendapat sambutan positif daripada netizen yang hampir kesemuanya menyokong jika DAP mahu keluar daripada Kerajaan. Rata-rata mereka berpendapat DAP adalah punca kepada masalah dihadapi oleh kerajaan PH.

Bagaimanapun penulis melihat dari konteks lebih luas, kalau benarlah Kor Ming membuat `gertakan’ sedemikian ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana DAP begitu yakin dengan kekuatan mereka menguasai kerajaan.

Dengan memiliki 42 kerusi Parlimen dan disokong oleh sebahagian besar daripada 50 kerusi Parlimen PKR dan mendapat `solid’ sokongan 11 kerusi Parlimen daripada Amanah, DAP percaya `gertakan’ mereka akan berhasil.

Apatah lagi mereka mengetahui sejauh mana kekuatan Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk menghalang kehendak parti cauvinis tersebut. Hakikatnya DAP sudah `besar kepala’ kerana mereka menguasai Kabinet dengan 12 ahli Parlimennya menjadi menteri dan timbalan menteri.

Pada masa sama dengan perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu, ia memberikan kesempatan terbaik kepada DAP menunjukkan kuasanya. DAP tahu mereka ada kekuatan untuk membuat apa juga tuntutan ketika kuasa memerintah berada dalam tangan PH.

Mereka tidak kisah apapun orang hendak kata, apa yang penting mereka mahu memastikan segala agenda demi kepentingan politik khususnya mengekalkan sokongan kaum Cina terhadap parti itu dilaksanakan.

Persoalannya, sejauh manakah pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH akan berani bersuara menegur sikap `besar kepala’ DAP itu? Penulis tidak yakin ada dalam kalangan mereka berani berbuat demikian.

Justeru tidak perlulah kita mengharapkan DAP akan dikecam oleh sekutunya dalam PH, sebaliknya jalan selamat yang dipilih ialah menerima hujah Kor Ming bahawa kenyataan beliau disalah petik.Jika itu dilakukan, ia pasti akan menyebabkan pemimpin-pemimpin DAP semakin `besar kepala’ kerana mereka tahu parti-parti Melayu dalam PH bagaikan terpaksa terus `menyembah’ mereka bagi meraih sokongan politik demi mengekalkan kuasa memerintah! – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *