500 bungkus pulut rendang diedar sempena Tahun Baharu Cina

JERANTUT 29 Jan. – Pelbagai cara diadakan untuk menyambut serta meraikan Tahun Baharu Cina dalam masyarakat majmuk ini.

Justeru, Sekretariat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak dengan kerjasama PAS Kawasan Jerantut dan Unit Hal Ehwal Wanita (Halwa) Damak tampil dengan kelainan dengan mengedarkan pulut rendang kepada penduduk berketurunan Tionghoa di sekitar bandar ini.

Program yang diadakan buat kali kedua itu antara lain bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dengan penduduk Tionghoa di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd. Daud dan Ketua Pemuda Pas Jerantut, Nu’man Al’muqarrin telah ‘menapak’ sejauh dua kilometer mengunjungi setiap premis termasuk lapan buah kedai kopi di Bandar Baru dan Bandar Lama di sini untuk menyampaikan pulut rendang kepada penduduk Tionghoa.

“Kita menghormati kepercayaan dan budaya etnik (Tionghoa) dan diasosiasikan dengan budaya Melayu menerusi sumbangan pulut rendang sempena Tahun Baharu Cina.

“Keikhlasan kita dibalas (dihargai) dengan baik oleh masyarakat Tionghua di sini dan menzahirkan nilai perpaduan semua kaum menerusi perayaan ini,” katanya kepada Utusan Timur di sini semalam.

Zuridan berkata, pulut rendang antara makanan tradisi orang Melayu ketika hari raya juga sinonim dengan masyarakat Cina dan etnik lain kerana kelazatan makanan itu.

Beliau dan Nu’man Al’muqarrin turut menyampaikan angpau kepada kanak-kanak sempena program Santuni Masyarakat Tionghua berkenaan.

Ahli jawatankuasa Halwa, Azarina Baharuddin, 44 berkata, program itu antara platform terbaik kerana pemimpin setempat berpeluang beramah mesra dengan masyarakat Tionghua di sini.

“Pertemuan ini juga membolehkan pemimpin setempat menyelami denyut masalah mereka serta tindakan segera membantu khususnya mengenai kebajikan dan pembangunan setempat.

“Bagi ahli Halwa, kita juga dapat berkenalan serta merapatkan hubungan dengan wanita Tionghua di samping memahami budaya kaum berkenaan menerusi perayaan ini,” katanya.

Penduduk Tionghua, Thian Lee, 57, berkata, dia teruja dengan kehadiran wakil rakyat (Zuridan) ke premisnya untuk menyampaikan pulut rendang dan angpau kepada kanak-kanak.

‘Saya dan rakan berterima kasih dengan sumbangan ini dan sememangnya Zuridan antara pemimpin yang kerap berjumpa kami pada waktu tertentu sambil bertanyakan khabar, ” ujarnya.

Tambahnya, pulut rendang sebagai tanda ingatan wakil rakyat berkenaan di samping mengukuhkan hubungan antara kaum serta melestarikan kesejahteraan penduduk di sini. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *