

JERANTUT 29 Jan. – Tiga ‘thermal scanner’ disediakan di tiga pintu masuk utama bagi mengesan wabak koronavirus di negeri ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah meletakkan alat berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Pelabuhan Kuantan dan Jeti Tekek, Pulau Tioman.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memandang serius mengenai wabak koronavirus biarpun belum ada mangsa di negeri ini.
“Hari ini kita telah mengadakan mesyuarat dan taklimat yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim.
“Kita telah membincangkan pelan tindakan bersepadu yang perlu diambil oleh agensi terlibat serta memilih Hospital Tengku Ampuan Afzan sebagai pusat rujukan, kepakaran dan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah.
Wan Rosdy memberitahu, pemantauan dan pemeriksaan di semua pintu masuk utama negeri ini dipertingkatkan termasuk kawasan tumpuan pelancong terutama Cameron Highlands, Genting Highlands, Pulau Tioman dan Taman Negara.
“Peserta aktiviti sukan antarabangsa seperti larian juga perlu menyerahkan laporan perubatan daripada Jabatan Kesihatan,” jelasnya.
Menurut beliau, orang ramai perlu mengambil berat keadaan kesihatan masing-masing dan segera berjumpa doktor sekiranya terdapat simptom seperti demam dan batuk. – UT