PPA Perlok Galeri Ikan Sungai Negara

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

JERANTUT 29 Jan. – Pusat Perkembangan Akuakultur ( PPA ) Perlok Ulu Cheka diiktiraf sebagai galeri pertama yang menempatkan pelbagai spesis ikan sungai negara ini yang bernilai tinggi.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, pusat yanh dibuka pada tahun 2001 itu bertujuan untuk menyebarkan maklumat saintifik dan proses perundangan yang melibatkan spesis ikan tersebut.

Menurutnya, PPA Perlok turut memberi khidmat nasihat teknikal akuakultur seperti pemindahan teknologi, latihan serta demonstrasi yang dapat diaplikasikan dalam penternakan ikan dan pemprosesan produk perikanan.

“PPA Perlok dikelilingi Bukit Bongkok dan Gunung Benom seluas 42 hektar kira-kira 40 kilometer dari Bandar Jerantut mempunyai 58 kolam takungan membabitkan kolam asuhan, kolam induk dan kolam rawatan air.

“Pusat ini melaksanakan pembangunan induk dan pembenihan ikan terutamanya ikan asli Malaysia seperti ikan kelah merah, ikan temoleh, jelawat dan lain-lain spesies yang bernilai tinggi,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama 20 Penternak Daerah Jerantut di Pusat Perkembangan Akuakultur (PPA) Perlok di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman; Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Yeo Moi Eim dan beberapa wakil Jabatan Sains Marin UIAM.

PPA Perlok turut menjalankan program pelepasan umum serta pengurusan perikanan berasaskan komuniti. Antara spesies yang telah dilepaskan iaitu ikan kelah, paton buah, temoleh, kerai, kunyit dan lain- lain.

Menurutnya, dari tahun 2013 hingga 2019 sebanyak 10 juta ekor ikan telah dilepaskan di seluruh negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4 juta.

“PPA Perlok berjaya membiak ikan asli sungai Pahang iaitu seperti ikan Patin Buah dan ikan Terbul pada tahun 2004 selaras dengan usaha menyokong industri akuakultur dan mewlahirkan pengusaha yang berkemahiran,“ katanya.

Tambah beliau, PPA Perlok bakal menjadi pusat pembangunan induk dan pembenihan spesies ikan patin buah terbesar di negara ini dalam tempoh lima tahun.

Katanya, ikan patin buah merupakan keluarga patin berharga RM100 sekilo mampu meningkatkan pendapatan penternak jika diusahakan secara komersial kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

“Sasaran peningkatan pengeluaran daripada 500 tan metrik kepada lebih 1,000 tan setahun itu realistik dengan kemajuan teknologi semasa dan kerjasama erat semua agensi termasuk universiti tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian turut menerima sokongan dan kepakaran daripada pihak pengkaji Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam perkara lain, beliau menyatakan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap ikan bukan spesies tempatan yang membiak di negara ini agar ia tidak menjejaskan ekosistem sedia ada.

“Orang ramai perlu diberi kesedaran supaya tidak melepaskan ikan luar ke sungai atau kolam seperti baung merah dan keli afrika kerana menjejaskan ekosistem sungai,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *