Pemandu bas henti-henti di Kelantan teruskan mogok hari kedua

KOTA BHARU 29 Jan. – Lebih 200 pemandu bas henti-henti di negeri ini meneruskan mogok buat hari kedua hari ini.

Tindakan tersebut menyebabkan urusan harian orang ramai khususnya pelajar untuk berulang alik ke sekolah terjejas.

Difahamkan mogok tersebut dilakukan disebabkan para pemandu tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu.

Mereka dikatakan akan meneruskan mogok tersebut sehingga gaji mereka dibayar sepenuhnya.

Tinjauan Utusan Timur di Stesen Bas Kota Bharu mendapati kebanyakkan penumpang tidak mengetahui tindakan tersebut dan mereka terpaksa menggunakan pengangkutan awam yang lain walaupun lebih mahal.

Ini bukan kali pertama perkhidmatan bas henti-henti yang diusahakan oleh Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) tergendala.

Pada Disember lalu, lebih 100 pemandu bas Cityliner terbabit mogok disebabkan masalah yang sama namun operasi diteruskan kembali sehingga semalam.

Pada 2012, SKMK yang turut menguruskan bas ekspress Transnasional pernah memberhentikan operasi bas henti-henti di 10 laluan kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang mencecah RM1,000 sebulan.

Namun syarikat tersebut meneruskan kembali operasi selepas syarikat itu menerima dana daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pada ketika itu Kerajaan Pas Kelantan juga menyumbang dana sebanyak RM1 00 000 sebulan selama empag bulan.

Pada tahun 2009, pemandu-pemandu bas terbabit juga melancarkan mogok selepas gaji mereka ditolak.

Utusan Timur cuba untuk mendapatkan ulasan daripada pengurusan syarikat terbabit dan Kerajaan negeri namun gagal.- UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *