Masyarakat Orang Asli perlu peka virus korona

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

TEMERLOH 29 Jan. – Masyarakat orang Asli perlu peka dengan gejala penyebaran koronavirus yang boleh mengancam nyawa dan menjadi ketakutan dunia ketika ini.

Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat pribumi tersebut, Senator Manolan Mohamad berkata, sikap ambil mudah dan tidak cakna khususnya berkaitan penyakit berjangkit boleh mengundang padah seperti kematian dalam ahli keluarga.

Tegasnya, mana-mana individu dalam keluarga perlu segera mendapatkan rawatan sekiranya jatuh sakit seperti mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

“Tindakan pantas merujuk ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sangat dipentingkan bukannya mengambil perubatan tradisi sahaja,” katanya.

Beliau berkata demokian kepada Utusan Timur selepas menyampaikan peralatan sekolah dan bakul makanan kepada 40 orang anjuran Skuad Kome Cakna PH Temerloh di Perkampungan Orang Asli Paya Mengkuang di sini hari ini.

Manolan berkata, wabak koronavirus yang merebak ke seluruh dunia memerlukan masyarakat Orang Asli turut peka dengan situasi yang membimbangkan itu.

Menurutnya, antara langkah pertama ialah tidak memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna bagi mengelakkan wabak itu menular.

Bagaimanapun ujarnya, situasi di Malaysia masih terkawal apabila kerajaan bertindak proaktif menyekat dan menyaring kemasukan pelancong dari China khususnya dari wilayah Wuhan negara itu.

“Pada masa sama masyarakat perlu mengikuti perkembangan kejadian jangkitan ini dalam media seperti siaran Radio Televisyen Malaysia ( RTM) khususnya Radio Asyik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Manolan bimbang dengan peratusan kecil anak Orang Asli yang sempat menjejak kaki ke sekolah menengah di negara ini.

Menurutnya, gejala ini adalah berpunca daripada sikap ibu bapa sendiri yang masih memandang enteng kepentingan pendidikan anak-anak.

“Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli ( Jakoa) perlu berusaha keras bagi memperkasakan pendidikan anak-anak Orang Asli.

“Berdasarkan rekod tahun 2019 seramai 900 anak Orang Asli kini menuntut di beberapa universiti awam dalam pelbagai bidang dan jumlah itu perlu dipertingkatkan lagi,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *