Kahwin bawah umur paling tinggi di Kelantan

KOTA BHARU 29 Jan. – Kelantan menjadi negeri paling tinggi mencatat perkahwinan bawah umur membabitkan 135 kes daripada 841 kes yang direkodkan di seluruh negara sepanjang 2018.

BH Online melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata statistik itu diikuti Sabah dan Sarawak, manakala negeri lain mencatat di bawah 100 kes pada tahun yang sama.

Katanya, walaupun kerajaan Kelantan tidak bersetuju menaikkan had umur, namun prosedur atau garis panduan ketat perlu dilakukan bagi menangani isu berkenaan.

“Berkemungkinan, jumlah kes yang lebih tinggi akan direkodkan jika kerajaan negeri bersetuju menaikkan had umur 18 tahun untuk kedua-dua pasangan, berbanding 16 tahun bagi wanita dan 18 tahun untuk lelaki ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perkahwinan Bawah Umur: Antara Harapan dan Realiti di sini, hari ini.

Tegas Fuziah, cabaran hari ini adalah meniadakan perkahwinan di bawah umur minima. Justeru satu prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan bagi memastikan hakim mahkamah tinggi turut mendengar permohonan perkahwinan bawah umur.

Hal ini katanya disebabkan hakim mahkamah tinggi berpengalaman dalam meneliti setiap permohonan dengan lebih terperinci dan memastikan apakah dorongan di sebalik setiap permohonan yang dibuat.

“Ia bermakna hakim akan menjadi ‘penjaga pintu’ kepada kelulusan itu. Justeru ia memerlukan gabungan undang-undang, SOP, garis panduan serta prosedur yang ketat juga kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya.

Fuziah berkata, walaupun kerajaan negeri tidak bersetuju dengan keputusan menaikkan had umur perkahwinan, namun hal itu memerlukan prosedur ketat supaya kepentingan dan kebajikan kanak-kanak dijaga.

“Banyak perkara yang boleh dilakukan antaranya mempunyai strategi mendidik, pencegahan serta undang-undang untuk memastikan perkahwinan bawah umur tidak mudah berlaku.

“Perlu ikut SOP digariskan dan jalan penyelesaian terbaik tidak semestinya perkahwinan,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *