Perhilitan pasang perangkap beruang

GUA MUSANG 28 Jan. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memasang sebuah perangkap untuk mengesan beruang yang berkeliaran di kawasan perumahan Rancangan Tanah Felda Perasu, di sini.

Tindakan itu dilakukan untuk menjaga keselamatan warga peneroka Felda Perasu yang menerima ancaman beruang sejak seminggu lalu.

Peneroka Felda Perasu sebelum ini bimbang dengan keselamatan selepas mendakwa melihat beruang berkeliaran berhampiran rumah mereka.

Malah, haiwan itu dikatakan turut membaham puluhan ekor ayam dan itik dalam reban serta memusnahkan tanaman penduduk.

Pengarah Perhilitan negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif ketika dihubungi berkata, pihaknya menghantar anggotanya  untuk memasang perangkap serta menggunakan umpan nangka di lokasi aduan penduduk.

Katanya, penduduk dinasihatkan melaporkan terus kepada pihak Perhilitan sekiranya terlihat kelibat beruang serta menjaga kebersihan di kawasan kampung.

“Kita menasihatkan peneroka supaya tidak membuang sisa makanan di sekitar rumah bagi mengelak kehadiran beruang.

“Tambahan pula, sekarang bukan musim buah-buahan, jadi sukar bagi haiwan itu mencari makanan menyebabkannya memasuki kawasan kampung,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *