Perlawanan Muay Khard Chuek – tanpa sarung tangan – yang pertama di Kelantan

KOTA BHARU 27 Jan. – Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia dengan kerjasama Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) akan menganjurkan satu perlawanan eksklusif antarabangsa Muay Thai yang melibatkan peninju popular dari empat negara, di Dewan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor dekat sini pada 1 Februari ini.

Presiden Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, ia merupakan perlawanan eksklusif peringkat dunia yang akan menyaksikan perlawanan tanpa memakai sarung tangan (Khard Chuek).

“Seramai 12 peninju dari Malaysia, Thailand, Laos dan Estonia; yang melibatkan enam regu, akan menyertai perlawanan itu nanti, yang dianjurkan di Malaysia buat julung kalinya,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Fared berkara, regu kelima bakal menyaksikan pertandingan jaguh Muay Thai no. 1 negara, Mat Ropi dari Persatuan Muaythai PDRM menentang peninju dari Laos, Sak Souliyavong.

“Regu terakhir pada malam itu ialah perlawanan Muay Thai Khard Chuek antara peninju dari Thailand iaitu Iquezang melawan Andi dari Estonia.

“Perlawanan bertaraf antarabangsa ini diadakan berikutan pihak kami mendapat pemintaan tinggi daripada peminat sukan Muay Thai Malaysia, dan kami jangka seramai 10,000 peminat akan hadir pada malam itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut melarang peminat yang hadir pada perlawanan itu membuat liputan secara langsung melalui media sosial, kerana ia merupakan perlawanan bertaraf dunia, di samping bagi menjaga kepentingan pihak-pihak yang terlibat.

“Sebaliknya mereka (peminat) perlu datang ke gelanggang menyaksikan sendiri perlawanan, sekaligus memberikan sokongan kepada pihak penganjur,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *