Bersatu perlukan pejuang Melayu bukan pengampu  

ABE MAT GOMO
 
BERMULA Sabtu lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan pemilihan cawangan dan bahagian masing-masing sehingga 1 Mac nanti manakala pemilihan peringkat tertinggi akan diadakan pada 4 April sebelum perhimpunan agung parti itu pada 20 Jun.

Dari segi perjalanan politiknya, Bersatu agar menarik kerana ia adalah parti serpihan UMNO.

Majoriti pemimpin utamanya adalah terdiri daripada mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun  bersama UMNO tetapi meninggalkan parti itu untuk bersekongkol dengan DAP, PKR dan Amanah semata-mata kerana mahu menjatuhkan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

 Impian mereka tercapai, tetapi Bersatu dalam Kerajaan Pakatan Harapan yang ditubuhkan pada 9 Mei 2018 tidak ubah seperti `melukut tepi gantang’.

Benar! jawatan Perdana Menteri disandang oleh Pengerusinya Tun Dr.Mahathir Mohamad manakala beberapa pemimpin dilantik ke dalam Kabinet dan lebih unik lagi walaupun bukan memenangi kerusi majoriti di peringkat negeri, pemimpin Bersatu dipilih menjadi Menteri Besar.

 Tidak mengapalah kita menganggap itu rezeki dan kebijaksanaan mereka membuat perhitungan politik dengan sekutu-sekutu mereka, tetapi persoalannya apakah Bersatu boleh diharapkan menjadi pejuang kepada nasib orang Melayu dan umat Islam?

 Kalau berdasarkan perjalanan pemerintahan negara sejak 8 Mei 2018, Bersatu bagaikan tidak ada apa-apa kekuatan, apatah lagi mahu memperjuangkan nasib Melayu dan umat Islam. Suara dan kehendak mereka lebih banyak ditenggelami dengan kelantangan dan keberanian pemimpin-pemimpin DAP. Begitu juga di peringkat negeri.

 Justeru ia memberi gambaran bahawa Bersatu sebenarnya sebuah parti yang lemah dan bukannya sandaran kepada orang Melayu. Walaupun mereka kini memiliki tujuh ahli Parlimen yang melompat daripada UMNO – suara ketujuh-tujuh ahli Parlimen itu juga tidak kedengaran walaupun kita memahami jiwa perjuangan Melayu dalam diri mereka.
 
Tetapi ahli-ahli Parlimen tersebut tidak boleh berbuat apa-apa, mereka terpaksa mengikut rentak pemimpin-pemimpin Bersatu yang tidak berani bersuara memperjuangkan soal Melayu kerana bimbang akan diserang oleh DAP dan PKR.

 Memang benar dalam PKR sudah ada keretakan berikutan perbalahan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali , tetapi ia tidak memberi apa-apa kelebihan kepada Bersatu.

 Berikutan itu ramai melihat pemilihan dan perhimpunan agung Bersatu sebagai landasan terbaik untuk membuat ukuran sejauh manakah Bersatu berani melahirkan pemimpin yang benar-benar memperjuangkan Melayu serta sejauh manakah mereka berani mendesak kerajaan memperjuangkan nasib kaum tersebut.

 Pemilihan Bersatu tidak boleh dijadikan medan untuk mempertahankan kepentingan politik mana-mana individu dan lebih penting menyasarkan bagi melahirkan lebih ramai `pengampu’ daripada pejuang!

 Bersatu memerlukan pejuang yang berani dan lantang untuk melaksanakan agenda Melayu, bukannya hanya tahu mengampu Dr.Mahathir. Perdana Menteri tidak memerlukan sokongan seumpama itu kerana beliau memiliki kekuatan sendiri, tetapi Dr. Mahathir semakin lemah dalam cengkaman kekuasaan kerana tidak memiliki pemimpin-pemimpin berkualiti daripada Bersatu.

 Janganlah hanya bercakap soal memperjuangkan Melayu semata-mata mahu menang dalam pilihan, sebaliknya bersedia menjadi pejuang sebenar-benarnya, tetapi masalahnya dalam Bersatu, pemimpin-pemimpin seumpama itu seolah-olah tidak wujud. Bila bercakap soal Melayu terus diam, apabila DAP `batuk’.

 Kalau begitulah keadaannya bagaimana orang Melayu mahu mengharapkan kepada Bersatu untuk memperjuangkan nasib mereka? Pemimpin-pemimpin Bersatu waima Pakatan Harapan sekalipun boleh berkata apa sahaja terhadap muafakat nasional yang diwujudkan oleh UMNO dan Pas.

 Tetapi kemenangan di lima pilihan raya kecil termasuk terbaru di Kimanis sudah membuktikan muafakat nasional adalah ancaman kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang.

 Pemimpin-pemimpin Bersatu sepatutnya menyedari perkara ini kerana di peringkat negeri pun mereka ibarat hanya mampu bernafas dalam lumpur di enam negeri sahaja dari segi kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kedah (5 kerusi), Perak (2 kerusi termasuk kerusi Sungai Manik – ADUN UMNO `lompat parti’), Pulau Pinang (2 kerusi), Melaka (2 kerusi), Johor (8 kerusi) dan Selangor (4 kerusi). Dari segi kerusi Parlimen pula, walaupun menguasai 26 kerusi tetapi tujuh daripadanya diperolehi melalui tindakan ahli Parlimen UMNO melompat ke dalam Bersatu.

 Kalau benarlah dalam PRU-15 nanti, UMNO dan Pas bergabung dalam satu gabungan dan bertanding secara berasingan atas nama muafakat nasional, bukan kata Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan sepenggal, sebaliknya Bersatu juga akan `dipenggal’ oleh orang Melayu.

 Pemimpin dan ahli Bersatu, tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada Dr. Mahathir yang pada masa ini semakin merudum popularitinya, malah tidak mungkin akan bertanding dalam PRU-15. Oleh itu, Bersatu perlu mencari barisan pelapis atau pewaris kepemimpinan yang terdiri daripada mereka yang benar-benar mampu menjadi pejuang Melayu bukannya pengampu apatah lagi hanya bijak bercakap tetapi hasil entah ke mana.

 Kepada pemimpin dan ahli Bersatu, buatlah keputusan yang sebijak-bijaknya dalam pemilihan kali ini sama ada di peringkat bahagian mahupun pusat kerana ia penentu kepada riwayat parti itu. Sama ada Bersatu akan bangkit sebagai parti yang memperjuangkan Melayu setanding dengan UMNO dan Pas atau terus menjadi `pak turut’ dalam Pakatan Harapan keputusan di tangan kalian.

Ingatlah Bersatu perlukan pejuang bukannya pengampu! – UT
 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *