Universiti pertama tubuh pusat pengajaran latihan NIOSH@UMK

BACHOK 21 Jan. – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMEOSH) menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pekerja di negara ini.

Pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Noor Azizi Ismail manakala NIOSH diwakili Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh, di Bilik Seminar 2, Aras 2 Bangunan Canselori UMK Bachok kelmarin.

Majlis tersebut juga disaksikan oleh Pengerusi NIOSH, Alice Lau Kiong Yieng dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Dr. Arham Abdullah.

MoU yang ditandatangani turut mengambil kira penubuhan Pusat Pengajaran Latihan NIOSH@UMK untuk membolehkan kajian bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini dapat dijalankan.

Pada majlis itu, turut berlangsung majlis penyerahan kunci pejabat satelit NIOSH yang berpangkalan di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa pada awal tahun 2020.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, melalui kerjasama strategik yang berkonsepkan industri dalam universiti ini akan memperlihatkan kekuatan dan kepakaran UMK dalam membangun industri dan masyarakat sekaligus menjadikan UMK sebagai universiti pertama menerajui aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.

Beliau berkata, kerjasama ini turut membuka peluang kepada warga UMK dan NIOSH melaksanakan koloborasi dalam bidang penyelidikan berkaitan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) selain menyumbang data, informasi dan kepakaran bagi tujuan penerbitan berkaitan KKP.

“Kedua- dua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membina keupayaan tenaga pakar KKP melalui pertukaran dan pelantikan Pakar Teknikal Pelawat serta kerjasama pembangunan kemudahan masa hadapan termasuk pembinaan Makmal Perindustrian Kolaborasi NIOSH-UMK di Pejabat NIOSH Wilayah Pantai Timur, Kerteh,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan UMK berkaitan program keselamatan dan kesihatan pekerja bermula selepas menerima penerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Kategori Institut Pendidikan Tinggi) 2018, yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, pada tahun lepas.

“UMK terus melangkah dan menyahut cabaran untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan pada tarikh 26 November 2019, UMK telah di iktiraf dengan pensijilan ISO 45001:2018.

“Pelbagai cabaran dan pengorbanan telah dilakukan dalam memastikan UMK sebagai pencetus amalan OSH terbaik di antara Universiti Awam di Malaysia. Ini juga menunjukkan bahawa umk merupakan sebuah organisasi yang mengamalkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mengikut piawaian antarabangsa,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *