Menyatukan ahli Parlimen Melayu

 
Oleh ABE MAT GOMO
 
ABE Mat sama sekali tidak terkejut apabila membaca laporan menyatakan arena politik negara dijangka menyaksikan susunan politik baru yang turut mengaitkan penglibatan Pas.
 Sebenarnya, Abe Mat dah dengar cerita ini sejak beberapa bulan lalu lagi. Seorang Ahli Parlimen Bersatu ada memaklumkan kepada Abe Mat bahawa ada gerakan sedang dijalankan bagi menyatukan semua parti Melayu dan kalau nak terperinci lagi… ia melibatkan ahli Parlimen Melayu.
 Cerita Ahli Parlimen tersebut, gabungan itu bertujuan menyekat penguasaan DAP yang kini dianggap paling berkuasa dalam Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH). Gabungan itu juga bertujuan memperkasakan semula kuasa politik Melayu yang menjadi lemah berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
 Abe Mat tak tahu sejauh manakah gerakan itu akan berhasil memandangkan dalam kalangan parti terlibat pun kecuali Pas ada pertelagahan sesama mereka, ada yang bersetuju dan ada pula yang menentang.
 Tetapi Abe Mat yakin sesuatu perlu dilakukan untuk menghalang atau sekurang-kurangnya membatasi penguasaan DAP dalam Kerajaan Pusat. Abe Mat dok tengok DAP ni dah semakin besar kepala.
 Mungkin ini yang dimaksudkan oleh tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaaffar dalam artikel beliau yang disiarkan dalam Sinchew. Dalam artikel bertajuk `Kenapa DAP Menjadi Liabiliti Kepada PH’, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan itu secara tegas mengkritik sikap menteri dan pemimpin DAP.
 Berikutan itu, ramai melihat Tun Dr.Mahathir Mohamad walaupun memegang jawatan Perdana Menteri tetapi tidak ada banyak kuasa kerana DAP dlihat mendominasikan banyak keputusan kerajaan. Sama ada betul atau tidak terpulang kepada tafsiran masing-masing.
 Abe Mat menjangkakan arena politik negara akan terus panas, isu peralihan kuasa akan terus menjadi tekanan kepada Dr.Mahathir dan apabila Pas meneruskan komitmennya untuk memberi sokongan padu kepada Dr.Mahathir serta menolak peralihan kuasa ia sesuatu menarik.
 Kenyataan Pas seperti mana dizahirkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mungkin tidak akan disenangi oleh PKR khususnya penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi bagi Abe Mat, pendirian Pas adalah betul. Pada masa sama, Dr.Mahathir memerlukan sokongan parti Melayu untuk terus memimpin negara walaupun beliau menyatakan bersedia berundur jika itu yang dimahukan oleh Majlis Presiden PH.
  Berdasarkan maklumat yang Abe Mat terima, ramai ahli Parlimen Melayu termasuk daripada UMNO menyokong usaha memperkukuhkan kuasa politik Melayu ini, jumlahnya tidak payahlah Abe Mat nyatakan, biarlah rahsia.
 Cuma Abe Mat nak menasihatkan sesetengah ahli Parlimen Melayu, jangan amalkan politik kebencian sehingga mahu bersatu sesama bangsa pun tidak boleh. Kalaulah sikap ini berterusan ia pasti akan menggembirakan DAP kerana mereka tahu buatlah macam manapun orang Melayu dari segi politik tidak akan bersatu.
 Inilah masanya untuk semua ahli Parlimen Melayu membuktikan, mereka mampu bersatu. Lagi pula sembang-sembang Abe Mat dengan majoriti orang Melayu mereka semakin menolak PH kerana meluat dengan tindak-tanduk DAP – jangan sampai perasaan itu akan menyebabkan ada parti Melayu akan ditolak secara total dalam pilihan raya umum akan datang.
 Apa yang Abe Mat cakap ni bukan auta tetapi inilah perasaan yang membuak-buak dalam kalangan orang Melayu, bak kata seorang warga emas kepada Abe Mat, “semua orang tahu yang perintah negara ialah DAP bukan Mahathir.’ – Sama ada betul atau tidak, sama-samalah kita kaji.
 
ABE MAT – Tahu banyak cerita politik
 
 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *