HANYA kerana sekeping gambar yang memaparkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu disusuli kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja, ia sudah cukup menyebabkan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) `tidur tak lena’.
Selain kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, ia disusuli pula dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan, “PH utuh, tidak perlukan PAS sebagai rakan.”
Kedua-dua kenyataan itu menampakkan betapa takutnya PKR dan Amanah, jika benar PAS mahu berada dalam gabungan PH, tetapi bak kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, ia ibarat ‘anjing takut bayang-bayang’.
Entah apa yang merasuk pemimpin-pemimpin kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan itu sedangkan sama sekali tidak timbul, malah tidak ada sekelumit hasrat PAS untuk bersama PH, sebaliknya seperti mana ditegaskan oleh Takiyuddin, PAS akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang yang konstruktif di dalam dan luar Parlimen.
Oleh itu kenapa ‘dua Din’ takut sangat dengan PAS sehingga membuat kenyataan bagaikan diburu `hantu di siang hari’. `Dua Din’ sepatutnya belajar untuk bermuhasabah bagi memahami munasabah atau tidak, PAS mahu mengambil tindakan `menjerut leher’ dengan bergabung di dalam PH, ketika penolakan rakyat terhadap pakatan itu semakin ketara.
Kekalahan PH di lima pilihan raya kecil (PRK) iaitu DUN Semenyih dan Rantau serta di tiga kerusi Parlimen iaitu Cameron Highlands, Kimanis dan Tanjung Piai sudah membuktikan bahawa PH kini dalam bahaya.
Kelima-lima pilihan raya kecil itu menyaksikan keampuhan kerjasama UMNO dan PAS melalui muafakat nasional. Malah kalau mahu melihat lebih dalam lagi, PAS mempunyai kekuatan sendiri bagi meraih kemenangan sama ada jika parti itu atau sekutunya bertanding.
Justeru `dua Din’ perlu `bangun dari tidur’, janganlah terlalu takut kepada bayang-bayang sendiri. Sepatutnya daripada menghabiskan masa membuat kenyataan politik yang hanya menjadi bahan ketawa rakyat, lebih baik, `dua Din’ bertaraf menteri itu memperbaiki prestasi kementerian masing-masing.
Pada masa sama uruskan politik dalaman PH yang semakin bercelaru dan haru biru kerana isu peralihan kuasa serta pertelingkahan sesama sendiri.
Penulis percaya PAS pun `tak hingin’ bersekutu dengan parti-parti yang dilihat hanya menjadi `pak turut’ kepada DAP! Bagaimanapun PAS tidak akan keberatan jika perlu memberi kerjasama atau sokongan, jika ada program kerajaan demi kepentingan rakyat.
Kepada `dua Din’, hentikan sikap takut tidak tentu hala terhadap PAS kerana ia hanya menampakkan kejahilan mereka dalam berpolitik! – UT