PLUS: Kenapa Khazanah mula ‘kelam kabut’?

ANALISIS

 

APAKAH PLUS kekal di tangan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau diambil alih oleh swasta? Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak menjelang mesyuarat Kabinet esok yang akan memutuskan perkara berkenaan.

 Setakat ini empat pihak swasta telah mengemukakan cadangan masing-masing dan ia tidak termasuk Khazanah yang dikatakan mempunyai cadangannya sendiri bagi memastikan PLUS tidak diambil alih oleh swasta.

 Bagaimanapun persoalan timbul adakah wajar PLUS terus berada di bawah Khazanah dan KWSP sedangkan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad sudah menegaskan sebelum ini tidak mahu lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terlibat dalam perniagaan yang berisiko.

 Mengkaji senarai pihak swasta yang mengemukakan cadangan bagi mengambilalih PLUS ternyata mereka bukanlah calang-calang konglomerat dan paling menarik perhatian ia turut terdiri daripada konglomerat Melayu yang berjaya.

 Walaupun dikhabarkan ada antara konglomerat Melayu itu dikatakan mengemukakan cadangan pengambilalihan PLUS dengan pakej menarik seperti mana diakui oleh institusi kewangan tempatan, tetapi Kementerian Kewangan khususnya Khazanah seolah-olah begitu berat melepaskan syarikat konsesi itu kepada swasta.

 Persoalannya adakah benar, tawaran pengambilalihan oleh konglomerat Melayu tidak memberangsangkan atau ada agenda tersembunyi mahu mengelakkan PLUS dikuasai oleh orang Melayu? 

Salahkah orang Melayu menguasai PLUS kalau mereka berkemampuan untuk menguruskannya jauh lebih baik daripada Khazanah dan KWSP?

 Kenapakah baru sekarang Khazanah mahu bercakap bahawa kedua-dua agensi itu tidak pernah meletakkan PLUS Malaysia Bhd untuk dijual? Kalau begitu kenapakah Khazanah turut mengemukakan cadangan selepas empat syarikat swasta berbuat demikian?

 Adakah Khazanah baru mendapat idea bagaimana mahu menguruskan PLUS dengan efisien selepas melihat cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak swasta?.

Kalaulah Khazanah bijak sangat menguruskan PLUS, kenapakah hutang PLUS kini mencecah RM30.2 bilion yang mana RM11 bilion adalah atas jaminan kerajaan?.

 Atau adakah mungkin Khazanah dan Kementerian Kewangan mulai kelam kabut apabila mendapati salah satu cadangan yang dikemukakan oleh konglomerat Melayu dianggap terbaik oleh sebuah institusi kewangan tempatan bagi menguruskan PLUS?.

 Hakikatnya terlalu banyak persoalan yang timbul apabila melihat tingkah laku Khazanah pada saat-saat akhir sebelum Kabinet bermesyuarat esok bagi memutuskan pengambilalihan PLUS. Apapun diharapkan tindak tanduk Khazanah ini tiada kaitan dengan `usaha halus’ bagi menghalang konglomerat milik orang Melayu mengambil alih PLUS.

 Penulis percaya orang Melayu juga berupaya untuk menguruskan PLUS, malah mungkin akan lebih baik daripada ia berada di tangan Khazanah dan KWSP. Apa yang penting ialah memastikan pemilihan dan penilaian dilakukan secara telus berdasarkan cadangan mereka kemukakan, bukannya ada agenda tersembunyi oleh mana-mana pihak untuk menghalang konglomerat Melayu mengambil alih PLUS.

 Lagi pula mengenali Dr.Mahathir, beliau sentiasa yakin dengan keupayaan orang Melayu untuk berjaya dalam bidang ekonomi termasuklah juga untuk menguruskan aset besar seperti PLUS. Semoga keyakinan beliau itu difahami oleh anggota-anggota Kabinet.

Dan jangan lupa walaupun Khazanah menegaskan PLUS bukan untuk dijual, namun Dr. Mahathir tidak pernah menghalang pihak swasta mengemukakan cadangan pengambilalihan sebab itulah mesyuarat Kabinet esok dianggap kemuncak isu PLUS itu. – UT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *