KHAMIS lalu heboh satu negara apabila SPRM di bawah kepemimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya mengadakan sidang media khas bagi mendedahkan sembilan rakaman audio yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Abe Mat antara orang yang `khusyuk’ juga mengikuti siaran langsung sidang media khas itu, maklumlah sekarang ni zaman teknologi, semua dah boleh ikut secara `live’. Mulanya Abe Mat haraplah juga kot-kot dapat dengar satu rakaman audio yang mengegarkan. Tetapi malangnya, Abe Mat rasa macam buang masa pula kerana tiada apa yang menarik selain ayat `Can i advise you something’.
Lain-lain itu perbualan biasa sahaja yang dari segi undang-undang Abe Mat rasa susah juga untuk dibuktikan di mahkamah, apatah lagi kalau sumber rakaman tak diketahui daripada mana.
Cuma Abe Mat tertanya-tanya apa motif SPRM berbuat demikian? Tidakkah perbuatan itu melanggar undang-undang? Kalau betul ada kes jenayah kenapa tidak serah sahaja kepada PDRM untuk buat siasatan, kenapa perlu buat sidang media khas sehingga akhirnya SPRM dituduh `gila publisiti’?
Mungkin kita berada dalam era Malaysia Baru, maka segala-galanya berkemungkinan tetapi bagi orang kampung macam Abe Mat ni, apapun tindakan SPRM dalam isu rakaman ini adalah tidak betul.
Sepatutnya biarlah polis siasat, biarpun Abe Mat kagum bila SPRM kata, mereka baru menerima rakaman itu pada awal tahun baru dan selepas seminggu dah boleh buat sidang media. Hebatnya pasukan siasatan SPRM! Dalam tempoh seminggu boleh dapat kesahihan suara siapa, sedangkan video hantar kepada pakar di Amerika Syarikat (AS) pun tidak dapat kenal pasti wajah siapa.
Mungkin selepas ini kalau ada laporan terbaru pasal isu video yang menghebohkan itu, Peguam Negara boleh bagi kepada SPRM untuk kenal pasti, kalau suara begitu cepat mereka tahu siapa, tak kan video yang agak jelas itu, tak boleh kenal, betul tak?
Bagaimanapun Abe Mat berharap pendedahan ini tidak akan menyebabkan SPRM berada di kedudukan `senjata makan tuan’. Mungkin pendedahan rakaman audio melibatkan individu dalam negeri tidak mengapa, tetapi apabila rakaman audio melibatkan pemimpin negara luar turut didedahkan dan negara itu dianggap `antara paling berkuasa’, Abe Mat rasa, silap-silap SPRM dapat `bos baru’. – Jangan marah Abe Mat teka saja!
Selain itu Abe Mat dok fikir sambil sedut dalam-dalam rokok daun kat anjung rumah, kalaulah perbualan Perdana Menteri ketika itu pun boleh dirakam dan sebarkan selepas perubahan politik berlaku di negara ini, adakah pemimpin dalam kerajaan sekarang akan terselamat jika mereka tidak ada kuasa lagi. Adakah mereka tahu, perbualan mereka sekarang ini dirakam atau tidak? Harap semua dapat tidur lena, jangan fikir bukan-bukan, biarpun sekarang dah ramai rasa tak selamat dengan perbualan telefon.
ABE MAT – Tak suka main rakam-rakam