Tiga beradik sakit leukemia dan tulang lembut

GUA MUSANG 8 Jan. – Sayu hati seorang ibu mengenang penyakit ditanggung tiga anak yang menyebabkan mereka kerap berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Dua anak menghidap penyakit kanser darah leukemia, manakala seorang lagi menghidap penyakit tulang lembut.

Cik Laily Che Musa, 42, yang juga pesakit tiroid sejak 19 tahun lalu sanggup menangguhkan pembedahan bagi membuang kelenjar itu, semata-mata untuk memberi tumpuan menjaga tiga daripada sembilan anaknya yang sakit ketika usia mereka masih kanak-kanak lagi.

Anak lelaki Cik Laily, Muhammad Amirullah Mohd. Amin yang berusia 8 tahun tidak bersekolah dan hidup terlantar di rumah kerana tidak boleh berjalan akibat penyakit leukemia.

Dua lagi anaknya, Mohamad Adam Ariff, 10, menghidap penyakit tulang lembut dan Mohamad Nur Firdaus, 16, adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut menghidap leukemia.

Cerita Cik Laily, dia terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Kampung Batu Papan di sini  ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan tiga beradik itu setiap bulan.

Katanya, suaminya, Mohd. Amin Ali, 48, yang bekerja sebagai pengutip getah sekerap dengan pendapatan RM800 sebulan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga dan empat anak yang masih bersekolah.

“Selain dikesan menghidap penyakit leukemia sejak berumur lima tahun, Muhammad Amirullah turut mempunyai alahan sehingga seluruh kulit tubuh badannya berbintik merah serta berasa pedih.

“Ketiga-tiga anak telah menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun masih tidak mencukupi untuk membeli susu khas serta digunakan untuk keperluan mereka,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati untuk membantu boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam bernombor 03-063-02-011904-8 atau menghubungi Cik Laily di talian 017-9039264. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *