Menteri Pendidikan : Jangan pilih yang bacul

KOTA BHARU 4 Jan. – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menggesa Perdana Menteri supaya melantik seorang tokoh yang tegas, berani dan tidak bacul bagi menggantikan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.

Naib Ketuanya, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, langkah tersebut amat penting bagi mempertahan dan menyelamatkan sistem pendidikan negara daripada dirosakkan oleh fahaman ‘Komunisme’ dan ‘Ultra Liberal’ DAP.

Beliau berkata, pada ketika ini, negara memerlukan seorang Menteri Pendidikan yang kental dan tidak mudah tunduk kepada desakan nyamuk-nyamuk nakal dalam kerajaan dan golongan korporat yang berkepentingan.

“Kementerian Pendidikan adalah kementerian kanan dan nadi kepada negara ini. Kementerian ini bukan hanya untuk pendidikan tetapi melangkaui lebih daripada itu melibatkan perpaduan, sosio budaya dan agama.

“Justeru, individu yang dilantik mestilah berpengalaman, tegas dan berani serta tidak mudah goyang dengan desakan golongan-golongan ekstremis sehingga mencabar kedaulatan serta perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perletakan jawatan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa semalam.

Shahrul Fadhel berkata, peletakan jawatan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mencetuskan polemik dan isu hangat.

“Pelbagai spekulasi diperkatakan daripada isu skandal 1BestariNet hinggalah isu pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Mac akan datang.

“Tidak terkecuali juga Isu-isu dasar Kemeenterian Pendidikan yang gagal dilaksanakan semasa Beliau menjawat jawatan Menteri. Jika kita tanya orang kebiasaan apa pendapat mereka tentang Menteri Pendidikan ada dua jawapan yang acap dijawab. Pertama “Menteri Kasut Hitam”, kedua “Menteri tak mampu kawal timbalannya.

“Isu pembelajaran tulisan Jawi dilihat mendapat tentangan hebat daripada kebanyakan sekutu beliau dan amat menyedihkan Dr. Maszlee dilihat ke seorangan dan tidak dibela oleh rakan-rakan dari Pakatan Harapan terutama daripada parti beliau, Bersatu. Namun yang berlaku biarlah berlalu kerana apa yang penting bagi Pemuda UMNO Kelantan adalah siapa pengganti Dr Maszlee Malik,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *